Foto hiasan

KUALA LUMPUR –  Penutupan pintu masuk ke Malaysia yang bertembung dengan fenomena kerja dari rumah telah menyebabkan permintaan pembantu rumah meningkat.

Dengan ketiadaan pembantu rumah warga asing baharu berikutan penutupan sempadan dan ibu bapa yang tidak dapat bekerja sambil melayan kerenah anak di rumah, keadaan ini mewujudkan trend pengasuh sambilan yang turut terdiri daripada siswazah.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia, Julian Tan Kok Hang berkata, disebabkan kebanyakan siswazah baharu berdepan masalah mencari kerja dalam tempoh kawalan pergerakan, maka segelintir mereka telah menjadi pengasuh buat sementara waktu.

Katanya, berlainan dengan pembantu rumah, pengasuh sambilan ini tidak duduk serumah dengan majikan, tetapi akan berkunjung ke rumah majikan mengikut keperluan.

“Gaji pengasuh bergantung kepada jumlah hari bekerja dan mereka boleh mendapat kira-kira RM1,500 sebulan jika bekerja tiga hari seminggu.

“Jika bekerja lima hari seminggu, maka gaji mereka boleh mencecah kira-kira RM2,500,” katanya kepada China Press.

Katanya, pengasuh sambilan bekerja secara jangka pendek antara satu hingga sembilan bulan.

Ujarnya, disebabkan permintaan daripada pelanggan, sesetengah agensi pekerjaan telah rekrut pengasuh sambilan dan pembantu rumah warga tempatan Mei tahun lalu.

Jelasnya, walaupun sesetengah keluarga mahu menggaji pesara sebagai pembantu rumah, tetapi umur mereka yang lanjut mengehadkan kerja yang boleh dilakukan.

“Biasanya pembantu rumah yang berusia lanjut hanya menyediakan makanan dan melakukan pembersihan rumah, tetapi tidak menjaga anak.

“Gaji untuk pembantu rumah tempatan adalah kira-kira RM3,000 sebulan,” katanya.

Mengenai kemasukan pembantu rumah asing, Kok Hang berkata, walaupun terdapat pembantu rumah yang memenuhi semua syarat dan sudah menjelaskan cukai kepala, tetapi mereka tidak boleh masuk ke Malaysia kerana penutupan sempadan.

Katanya, kerajaan diminta membuka semula Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) untuk mengendalikan prosedur kemasukan pembantu rumah berikutan masalah kekurangan tenaga kerja yang berlaku. – MalaysiaGazette