Dua lokaliti di Kota Belud, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mulai Selasa ini sehingga 12 Julai depan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua lokaliti di Kota Belud, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mulai Selasa ini sehingga 12 Julai depan.

Lokaliiti itu adalah Kampung Nahaba Tegudon dan Kampung Linau yang terletak di Kota Belud, Sabah.

“KKM (Kementerian Kesihatan) mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di kedua-dua lokaliti tersebut di mana 9 kes positif telah direkodkan hasil dari 48 ujian saringan yang dijalankan di Kampung Nahaba Tegudon dan 11 kes positif direkodkan dari 15 ujian saringan yang dilaksanakan di Kampung Linau,” kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Dalam pada itu, satu PKPD dilanjutkan di Kampung Penimbawan, Tuaran, Sabah ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19.

PKPD itu yang seharusnya ditamatkan esok dilanjutkan sehingga 12 Julai depan setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan 1,693 ujian saringan dan mendapati 53 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Lima PKPD iaitu tiga di Sabah, dua di Sarawak dan satu di Labuan ditamatkan bermula esok.

PKPD itu adalah 5 Sub-zon WP Labuan dengan 1,632 kes positif Covid-19, PKPD Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud, Sabah dengan 12 kes positif, PKPD Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri), Tawau, Sabah dengan 11 kes dan PKPD Kampung Tanjung Kapor, Kudat, Sabah dengan 171 kes.

Dua lagi PKPD yang tamat esok adalah PKPD Kampung Tabuan Haji Drahman, Kuching, Sarawak dengan 57 kes, dan PKPD 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, Stalon, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak yang ditamatkan awal dengan 95 kes positif Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Ismai Sabri berkata, sejumlah 798 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Daripada jumlah itu, seramai 762 individu dikompaun manakala 24 direman dan 12 dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan ialah 172 kes tiada penjarakan fizikal, 119 kes tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan, 114 kes gagal merekod butiran diri atau mendaftar masuk premis, 108 kes tidak memakai pelitup muka, 69 kes membawa penumpang berlebihan dan baki 216 kes lagi lain-lain kes,” kata Ismail lagi.

Operasi Benteng (Op Benteng) pula kata Ismail telah menangkap 28 Pendatang Tanpa Izin (PATI) serta merampas enam bua kenderaan.

Sebanyak 149 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan dan tiga orang PATI turut berjaya diusir melalui satu aktiviti pengusiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast