Datuk Ir. Baharin Din

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) membenarkan dua buah premisnya digunakan sebagai fasiliti membendung pandemik Covid-19 selaras usaha menyokong Pelan Pemulihan Negara.

Dewan Kelab Kilat TNB di Pangsapuri TNB Kapar, Klang dekat sini merupakan salah satu daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk kegunaan memudahkan penduduk sekitar mendapat suntikan vaksin sejak 31 Mac lalu.

Malah, sebanyak 1,016 unit di Kolej Kediaman Bestari di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sulta Haji Ahmad Shah di Bandar Muadzam Shah, Pahang dijadikan Pusat Kuarantin Covid-19 sejak 15 April lepas.

“Penggunaan Dewan Kelab Kilat (TNB) di Kapar dapat membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan kemampuan menampung 600 penerima vaksin sehari.

“Walaupun jumlah ini tidak besar, ianya merupakan tanda komitmen dan sokongan kami terhadap usaha negara meningkatkan kadar vaksinasi rakyat di negara ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

Menurutnya, kedua-dua premis itu membolehkan TNB semakin dekat dengan komuniti sekitar kerana fasiliti berkenaan bukan sahaja dapat dimanfaatkan warga kerja TNB dan penuntut UNITEN, sebaliknya, kepada rakyat terutama bagi mendukung keseluruhan program vaksinasi negara.

TNB juga katanya, menawarkan premis TNB yang lain sebagai pusat pemberian vaksin selaras dengan inisiatif berterusan TNB untuk mengurangkan kadar penularan virus.

“Sebagai organisasi yang prihatin terhadap situasi pandemik serta kesannya kepada masyarakat, TNB sentiasa mencari peluang untuk turut serta dalam usaha negara membasmi pandemik Covid-19,” ujarnya.

Baharin berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lepas, TNB telah menyumbang lebih RM33 juta bagi menjamin kestabilan dan daya harap bekalan elektrik ke lokasi-lokasi kritikal termasuk PPV, Pusat Simpanan Vaksin serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera.

Untuk PPV di Dewan Kelab Kilat di Kapar jelasnya, TNB telah membuat penambahbaikan pada sistem kawalan di pencawang elektriknya di situ bagi membolehkan pemulihan bekalan lebih pantas sekiranya berlaku sebarang gangguan.

Selain menyelamatkan nyawa, tiga lagi langkah diambil TNB bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara melibatkan aspek melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi, katanya.

“Dalam inisatif terbaharu melindungi golongan rentan, setakat ini TNB telah berjaya mengumpul lebih RM1.4 juta menerusi potongan gaji secara sukarela warga kerjanya untuk bulan Jun dan Julai.

“Sumbangan yang dikumpul di bawah Tabung Warga TNB Prihatin ini diagihkan kepada golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Semenanjung,” tambah beliau. – MalaysiaGazette