UTeM Tersenarai Antara Universiti Terbaik Dunia Berusia 50 Tahun dan ke Bawah Menerusi Penarafan Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2021.

KUALA LUMPUR – Sekali lagi sejarah baharu tercipta apabila Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah tersenarai pula dalam penarafan Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2021 yang diumumkan pada 23 Jun 2021  lalu.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan itu meletakkan UTeM yang berusia 21 tahun penubuhan terus menyerlah prestijnya sebagai salah sebuah universiti terbaik dunia yang berusia 50 tahun atau kurang.

Jelas beliau, antara kriteria penarafan THE Young University Rankings ini adalah berfokuskan kepada 13 indikator berdasarkan misi teras sesebuah universiti iaitu pengajaran, penyelidikan, pemindahan ilmu serta pengantarabangsaan.

Antara kelebihan yang menjadi tunjang kekuatan UTeM adalah penzahiran konsep pemindahan ilmu menerusi hubungan dan kolaborasi strategik antara UTeM bersama rangkaian industri peringkat global.

“Pencapaian ini membuktikan pendekatan konsep TUNAI (Technology @ University Advancing Industry and society) yang menjadi amalan UTeM kian menyerlahkan hasil berimpak bukan hanya peringkat nasional malahan terus bersinar di persada global.

“Aspirasi ini terus melonjakkan momentum UTeM untuk terus berdaya maju dalam menjayakan kerjasama strategik pintar bersama pihak industri pelbagai sektor seluruh dunia yang menghasilkan pengembangan ilmu, penciptaan inovasi serta solusi kepada komuniti global,” ujarnya dalam kenyataan yang  hari ini.

Raha berkata, UTeM telah disenaraikan pada kedudukan 401+ dalam daftar tersebut bersama tiga buah universiti tempatan yang lain iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebanyak 12 buah universiti tempatan turut telah tersenarai dalam penarafan tersebut yang menyenaraikan sebanyak 475 universiti dari 68 buah negara secara keseluruhannya.

Mengulas lanjut, Raha berkata, pencapaian itu terus menjadi pembakar semangat warga UTeM untuk terus dinamik dan komited menjana kejayaan berterusan di samping mencapai aspirasi Pelan Strategik 2021-2025: Seven Strategic Goals of UTeM.

UTeM turut tersenarai buat pertama kalinya pada tahun ini dalam penarafan lain iaitu THE World University Rankings pada kumpulan 1001+ serta THE Asia University Rankings pada kedudukan 401+. UTeM juga berada dalam senarai 801-1000 dalam penarafan THE Impact Rankings.- MalaysiaGazette