Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman 13 kontraktor bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu melibatkan program sukan tiga tahun lalu.
Seorang ahli perniagaan wanita yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan didakwa di mahkamah di sini esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan wanita yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan didakwa di mahkamah di sini esok.

Beliau didakwa atas tuduhan terlibat dalam aktiviti penstrukturan transaksi melibatkan wang berjumlah lebih RM230,000 dan ia merupakan pendakwaan pertama berhubung kes seumpama itu di negara ini.

Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 50-an itu disyaki terlibat dalam aktiviti tersebut kerana cuba mengelak dikesan oleh pihak bank yang perlu melaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan transaksi kemasukan atau pengeluaran wang  berjumlah melebihi RM50,000 sehari yang dilakukan oleh pelanggan.

Jelas sumber tersebut, pada sekitar Januari hingga Mei 2018, suspek dipercayai telah mengarahkan seorang individu mendepositkan wang ke dalam akaun perniagaannya dengan jumlah lebih kecil tidak melebihi RM50,000 secara berkali-kali pada hari sama bagi mengelak dikesan sebagai transaksi mencurigakan.

”Jumlah keseluruhan wang melebihi RM230,000 telah dimasukkan ke dalam akaun milik perniagaan suspek melalui beberapa pecahan transaksi.

”Pihak bank yang terlibat dalam menguruskan transaksi itu tidak membuat Laporan Transaksi Tunai (CTR) kepada pihak BNM kerana transaksi yang dilakukan secara berganda dalam hari yang sama adalah dibenarkan,” ujar sumber tersebut.

Tambah sumber itu, CTR merupakan mekanisme bagi BNM memantau apa-apa transaksi tunai sama ada deposit atau pengeluaran yang dilakukan oleh mana-mana orang menerusi bank.

Jelasnya, penstrukturan transaksi atau smurfing merupakan satu teknik yang digunakan oleh penjenayah kewangan untuk memasukkan atau mengeluarkan wang tunai hasil daripada kegiatan haram di mana-mana institusi kewangan.

‘Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dituduh di bawah Seksyen 4A(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Tambah sumber itu, pada Disember 2018 BNM telah meminda dan menetapkan kadar amaun CTR daripada RM 50,000 kepada RM25,000 dalam satu hari yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. – MalaysiaGazette