Mangsa ditetak dikepala kerana menegur rakannya bercakap terlalu kuat

ISKANDAR PUTERI – Berang ditegur rakan serumah kerana bercakap terlalu kuat, seorang lelaki berusia 23 tahun bertindak menetak rakannya dengan menggunakan parang sebanyak tiga kali di kepala.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar  berkata, kejadian tersebut berlaku di sebuah bilik sewa di Taman Nusa Bestari pada jam 5.15 petang semalam.

Difahamkan insiden tersebut berpunca apabila suspek tidak mahu menerima teguran mangsa untuk memperlahankan nada suara semasa bercakap kerana mangsa sedang berbual melalui telefon dalam biliknya.

“Apabila mangsa keluar dari bilik tersebut, suspek mendekati mangsa dan mengeluarkan parang dari dalam seluar lalu menetak mangsa di bahagian kepala sebanyak tiga kali.

“Mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri dan turun ke tingkat bawah,” katanya.

“Ketika anggota polis tiba di lokasi, kepala mangsa didapati  berlumuran darah,” katanya.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru serta berada di dalam keadaan stabil.

Hasil siasatan mendapati suspek adalah seorang pekerja kilang dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek juga negatif dan bebas daripada pengaruh dadah.

Dzulkhairi berkata, polis merampas sebilah parang panjang lebih kurang 37.7 sentimeter yang ditemui di lokasi kejadian,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Suspek akan dibawa ke mahkamah Johor Bahru bagi proses  reman.-Malaysiagazette