SHAH ALAM – Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu telah ‘melondehkan’ rupa sebenar tahap kesihatan mental rakyat Malaysia.
Ia dikuatkan lagi dengan pelbagai paparan berita sejak akhir-akhir ini yang menunjukkan pertambahan bilangan individu memilih jalan pintas dengan mengambil nyawa sendiri.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, ini kerana rakyat semakin terkesan dengan pandemik yang berlaku yang mana segelintir daripadanya sudah tidak lagi mampu untuk bertahan.
“Sebenarnya selama ini pun sudah terancam (kesihatan mental) tetapi tidak diambil tahu, namun selepas pandemik ini barulah kita nampak dengan jelas betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan mental.
“Kalau kita lihat ramai yang sebelum ini telah didiagnos dengan penyakit tapi bila datangnya pandemik yang sebelum ini stabil sekarang sudah jadi tak stabil, ubat kena tambah, mereka yang tak ada sakit apa-apa sebelum ini tiada masalah, kini sudah ada masalah.
“Dan kita juga lihat mereka yang sebelum ini memang tertekan tapi tidak pernah dapat pengesahan atau rawatan jadi ketika pandemik ini menyebabkan mereka datang untuk dapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada faktor tekanan melampau dan kesempitan hidup merupakan antara penyumbang kepada kes bunuh diri, Hazli berkata, tiada kajian atau data tepat yang dapat dikaitkan dengan perkara tersebut.
Namun Pengarah Klinik Pakar Alaminda itu tidak menolak kemungkinan bahawa faktor-faktor berkenaan saling berhubung kait dengan situasi yang melanda negara ketika ini.
“Kebanyakan kita sudah berfikir selepas pandemik ini bagaimana? Adakah aku masih ada lagi simpanan untuk meneruskan kehidupan atau sama ada kerja yang ada sekarang ini pun mungkin akan hilang?
“Ketidak pastian yang berlaku itu menambahkan lagi kerisauan dan anxiety, ia menyebabkan kesihatan mental menjadi semakin tidak baik, buruk dan lemah. Ada daripada mereka itu yang sudah ‘cross’ menjadi penyakit mental.
“Itu bezanya antara kesihatan mental yang tidak baik dengan penyakit mental. Orang yang ada anxiety, orang lain yang tidak ada penyakit mental pun ada anxiety juga tetapi mereka yang ada penyakit anxiety seperti panic disorder dan fobia mereka itu bertambah terkesan disebabkan apa yang berlaku.
“Orang yang ada tekanan dan orang yang ada penyakit kemurungan dua perkara berbeza, walaupun mereka ini menghadapi benda sama, kesannya berkali-kali ganda dan sebab itu kita kadang-kadang tak boleh menggunakan diri kita sebagai rujukan. Bila orang kata dia depressed, tak sama bila kita kata diri kita depressed,” katanya.
Mengulas lanjut, Hazli berkata, sekiranya terdapat individu yang ingin berkongsi masalah yang dihadapi, mereka yang berada di sekeliling dinasihati untuk tidak terus menghukum golongan tersebut.
Jelas beliau, pendekatan yang boleh diambil adalah dengan cuba memahami terlebih dahulu apa yang ingin disampaikan oleh individu tersebut.
“Contohnya ada majikan di mana mereka terima aduan dari pekerja yang sudah tidak mampu bertahan dan tidak mampu lakukan kerja tetapi dikatakan sebagai tidak kuat dan sengaja mencari kesempatan. Itu tidak tepat dan perlu kita fahami dahulu, jangan terus menghukum.
“Sama juga macam pembelajaran di rumah sebelum ini, ada pelajar yang tidak boleh ikuti pelajaran tetapi kita terus menghukum, akan digantung sekolah padahal kenapa kita tidak memahami dahulu apa yang menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti kelas-kelas tersebut, bukan senang untuk fokus kelas online, jadi perkara itu yang kita perlu lakukan iaitu jangan terlalu cepat untuk menghakimi dan perlu faham terlebih dahulu,” ujarnya.
Jelas Hazli, antara golongan yang sering berdepan dengan tekanan pada musim pandemik ini melibatkan individu yang kehilangan pekerjaan, wanita bekerja, pelajar serta remaja.
Katanya, golongan yang bekerja itu membabitkan mereka yang berusia di antara 35 hingga 45 tahun.
“Golongan yang sudah tidak lagi bekerja atau pun mereka sedang bekerja tetapi perlu menyesuaikan diri dengan suasana pekerjaan (bekerja dari rumah) terutamanya wanita yang perlu melakukan tugas sebagai seorang pekerja dan pada masa sama memikul tanggungjawab sebagai suri rumah, itu memang ketara.
“Kemudian adalah pelajar terutamanya mereka yang mempunyai peperiksaan dan terpaksa memberikan lebih banyak perhatian dan tenaga kerana banyak mata pelajaran yang perlu catch up dan mereka terkesan tanpa diberikan bantuan atau sokongan yang sepatutnya dan ditambah pula tekanan daripada ibu bapa yang mahu mereka cemerlang,” katanya.
Katanya lagi, tekanan dalam kalangan remaja juga tidak kurang hebatnya apabila mereka hanya terkurung di dalam rumah dan menjauh dari dunia luar dan rakan-rakan sebaya.
“Sebelum ini mereka bersukan dan dapat tengok dunia luar tetapi tiba-tiba perlu berkurung dan berhadapan dengan kedua ibu bapa yang selama ini menjadi ‘musuh’ pada tahap umur remaja itu sendiri.
“Kita nampak perkara ini memang mudah tetapi itulah menjadi faktor tekanan kepada mereka kerana kita tahu betapa pentingnya rakan-rakan, sukan, aktiviti luar kepada golongan remaja ini,” katanya. – MalaysiaGazette