Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

PETALING JAYA – Gara-gara rasa cemburu dan tidak dapat menerima hakikat rakan sekolahnya mempunyai hubungan akrab dengan abang angkat beliau, seorang budak perempuan berusia 12 tahun menyerang dan mencederakan mangsa.

Ia menyebabkan tercetusnya pergaduhan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di anggota badannya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku pada jam 9.26 malam semalam.

“Polis Petaling Jaya telah menerima laporan daripada seorang kanak-kanak perempuan warganegara tempatan berumur 12 tahun mengenai kejadian dipukul oleh seorang lagi kanak-kanak perempuan warganegara tempatan berumur lingkungan 12 tahun hingga 13 tahun.

“Siasatan polis mendapati suspek yang merupakan rakan sekolah berasa cemburu dengan hubungan mangsa dengan abang angkatnya iaitu seorang lelaki warganegara tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, insiden itu berlaku di kawasan tangga perumahan pangsapuri di Kelana Jaya.

Tambah beliau, semasa kejadian terdapat rakan suspek yang merakamkan perbuatannya dan telah menularkannya kepada group aplikasi whatsapp dan laman instagram milik suspek.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan arahan untuk menjalankan siasatan telah diperolehi daripada timbalan pendakwaraya dan kesemua suspek yang terlibat telah dikenalpasti untuk siasatan lanjut.

“Oleh kerana suspek tidak boleh keluarkan waran tangkap dan reman sebab masih juvenil, kita hanya memanggil dan selesai merakam keterangan daripada suspek, mangsa dan beberapa rakan kenalan yang bertanggungjawab merakam insiden itu bagi membantu siasatan.

“Sementara menunggu laporan perubatan mangsa, polis akan melengkapkan kertas siasatan dan akan diangkat kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut,” ujarnya. -MalaysiaGazette