Sebahagian kakitangan petugas Pusat Pentadbiran dan Perkhidmatan Akademik (AASC) UM terlibat dalam proses penghantaran dokumen pengijazahan graduan UM sesi 2020 kali ini.Foto Kredit: Univertiti Malaya. Gambar hiasan

UNIVERSITI merupakan sebuah gedung ilmu yang melahirkan bukan sahaja mahasiswa malah staf universiti yang bertaraf intelektual. Ironinya peranan staf akademik dilihat lebih ke depan kerana hakiki seorang pensyarah mempunyai hubungan rasmi dengan Pengajaran & Pembelajaran bersama para pelajar Universiti yang bergelar mahasiswa. Sebaliknya staf pentadbiran yang sering diberi gelaran staf ‘bukan akademik’ dilihat tidak terlibat secara langsung kerana hakiki tugasan mereka adalah lebih kepada proses yang melaksanakan sistem atau tadbir urus yang menyokong ke arah mempermudahkan operasi dan memperkasakan bakat staf universiti yang mendukung kepada kecemerlangan mahasiswa.

Universiti terdiri daripada tiga kumpulan utama staf yang memainkan peranan masing-
masing iaitu Kumpulan Pengurusan & Profesional (Akademik), Kumpulan Pengurusan & Profesional (Bukan Akademik) dan Kumpulan Sokongan & Pelaksana. Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) terdiri daripada 9,000 ahli di semua Universiti Awam dengan lebih 40 skim perjawatan adalah di bawah Kumpulan Pengurusan & Profesional (Bukan Akademik).

Dalam konteks Pentadbir Universiti yang dikategorikan staf ‘bukan akademik’ amatlah terkesan dengan istilah yang digunakan. Ia seolah-olah menggambarkan para pegawai di universiti tidak mempunyai ‘kelulusan akademik’ dan tidak layak memegang jawatan strategik dan melaksanakan tugas yang sama pentingnya dalam memacu kecemerlangan universiti. Semua pentadbir universiti Kumpulan Pengurusan & Profesional memiliki sekurang-kurangnya Sarjana Muda semasa pelantikan pertama seperti disyaratkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.

Terdapat juga beberapa jawatan ikhtisas seperti Pegawai Perubatan, Jurutera, Pegawai Kewangan dan lain-lain lagi yang memerlukan sijil profesional/khas dalam pelantikan. Malah mengikut rekod sehingga tahun 2020, seramai 120 orang pentadbir Universiti Awam telah memiliki PhD hasil budaya dan persekitaran intelektual yang positif serta peningkatan profesionalisme di universiti masing-masing.

Dalam konteks peranan penting Pentadbir Universiti, dengan jawatan strategik utama seperti Pendaftar, Bendahari, Ketua Pustakawan dan Penasihat Undang-Undang serta beberapa jawatan strategik yang lain, ke semua ini adalah terdiri daripada mereka yang terlibat membuat dasar seperti Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor. Kesetiaan dan ketelusan para pentadbir universiti lebih jelas khususnya dalam menyokong ekosistem 7P (Pengajaran, Penyelidikan, Penulisan, Perundingan dan Perkomersilan, Perkhidmatan, Penyeliaan serta Perkhidmatan Profesional) kerana mereka berada dalam jawatan pentadbiran hakiki berbanding staf akademik yang dilantik secara lantikan bertempoh.

Laluan kerjaya pentadbir juga amat jelas secara kenaikan hakiki sudah sampai masanya dipertimbangkan tidak hanya kepada jawatan strategik sediada malah dibuka kepada jawatan Timbalan-Timbalan Naib Canselor (TNC) yang tidak berteraskan kepada sistem akademik atau fungsi khusus seperti TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan TNC Pembangunan dan Insfrastruktur. Jawatan-jawatan Penolong-Penolong Naib Canselor yang banyak diwujudkan di universiti-universiti awam juga sewajarnya diberi peluang kepada pentadbir dalam bidang fokus tertentu.

Cadangan ini wajar dipertimbangkan bagi menyokong usaha pengurusan bakat yang menilai pelbagai kompetensi kepimpinan dalam menyediakan kelompok pemimpin universiti yang kompeten bagi menerajui portfolio berimpak sekaligus melonjakkan kecemerlangan institusi insan ini secara berterusan. Jika dilihat kepada perkembangan kerjaya ini, tidak wajarlah istilah staf ‘bukan akademik’ digunakan kepada golongan pentadbir universiti.

Justeru itu, MASTI menyarankan agar Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia menilai semula penggunaan istilah Kumpulan Pengurusan & Profesional (Bukan Akademik) atau akronim yang selalu digunakan di universiti sebagai staf ‘bukan akademik’ kepada nama baharu iaitu Kumpulan Pengurusan & Profesional (Pentadbir Profesional) agar ianya seiring dengan latarbelakang akademik dan peningkatan profesionalisme dan kerjaya pentadbir universiti sebagai perancang dan pembuat dasar bersama dengan kumpulan akademik yang menyelia bersama agenda /inisiatif universiti bersama kumpulan pelaksana.

Saranan MASTI ini seiring  dengan Cadangan Tranformasi Skim Pegawai Tadbir & Ikhtisas di Universiti Awam yang telah dicadangkan sejak tahun 2019 untuk memiliki Skim sendiri iaitu Skim Pentadbir Universiti (SPU) seperti Skim PTD dan perkhidmatan khusus yang lain. MASTI akan terus memperkasakan 3 inisiatif utamanya iaitu memperkasakan bakat pentadbir melalui pengurusan bakat berasaskan kompetensi (CBTM), menjalinkan hubungan strategik dengan semua pihak berkepentingan dan
meningkatkan keilmuan serta profesionalisme dalam menghadapi perubahan baharu di era yang semakin mencabar ini menerusi pendekatan VUCA. Semoga ekosistem tadbir urus yang baik di universiti awam akan terus mendukung dan merealisasikan inisiatif ini.

Raja Shah Erman Raja Arifin
Presiden
Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia

1 Komen

  1. Aiyyaaa macam mana laaa ko ni blh jd pentadbir kalau ko tak fahama fungsi universiti? Jawatan TNC & VC tu bukan jawatan pentadbiran jer tp kepimpinan akademik laaa bebal

Comments are closed.