Mohd Najwan Halimi

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi digugurkan daripada jawatannya berkuatkuasa serta merta.

AMK dalam satu kenyataan berkata, langkah proaktif itu diambil demi melakukan penyusunan semula atau rombakan barisan kepimpinan sayap PKR itu.

“Berikutan daripada usul khas berkaitan pemanjangan tempoh memegang jawatan bagi sesi kempimpinan 2018/2021 yang telah diluluskan semasa Kongres Nasional PKR ke-15 yang lalu.

“AMK mengambil langkah progresif dengan melaksanakan penyusunan semula barisan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (MPAMK) dan rombakan jawatankuasa organisasi AMK Negeri Perlis dan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam penyusunan semula barisan kepimpinan sayap PKR itu, AMK bertindak menggugurkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu bersama Penolong Setiausaha AMK, Muhammad Naqib Nasaruddin.

Dalam surat AMK kepada Najwan yang dilihat MalaysiaGazette, sayap itu berkata, rombakan menyeluruh itu dilakukan di peringkat AMK Selangor.

Ia dibuat atas alasan memastikan AMK Selangor mampu menjadi tulang belakang dalam memperkukuh jentera PKR khususnya di negeri Selangor.

“Maka berkuatkuasa daripada tarikh surat ini dikeluarkan, adalah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa AMK Negeri Selangor secara rasminya dibubarkan dan Ketua AMK Malaysia akan menjalankan proses konsultasi mengikut Peraturan Tetap AMK 2014 bagi memilih Ketua AMK Negeri Selangor yang baharu.

“Bagi pihak Ketua AMK Malaysia, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas segala khidmat bakti saudara sepanjang berkhidmat sebagai Ketua AMK Selangor,” demikian menurut surat berkenaan.

Surat itu ditandatangani Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bubar jer lah Parti keadilan tu..buat ngabih boreh yo xdo arah tuju pun parti tu bergaduh no 1, yg kepalo pun lopeh diri sendiri yo..anakĀ² buah mati kebulur

Comments are closed.