SHAH ALAM – Sehingga semalam, seramai 669,846 pekerja dari 4,537 syarikat dan kilang di seluruh negara telah mendaftar di bawah Program Uminisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah itu daripada kira-kira dua juta pekerja dalam sektor pembuatan yang akan mendapat vaksin menjelang penghujung suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, kementerian dengan persetujuan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membuka sekurang-kurangnya lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) penggunaan umum di seluruh negara.
“PIKAS mempunyai matlamat mempercepatkan vaksinasi untuk sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang penghujung suku ketiga tahun ini.
“PPV Setia City Convention Center (SCCC) ini adalah salah satu daripada lapan PPV penggunaan umum yang telah mendapat kebenaran untuk beroperasi selewat-lewatnya 5 Julai ini.
“Ada dua jenis PPV di bawah PIKAS – PPV penggunaan umum melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel, manakala PPV di tapak (on-site) pula adalah PPV di premis kilang,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV PIKAS, di sini, hari ini.
PPV PIKAS dikelolakan MITI yang telah memulakan proses vaksinasi bagi pekerja sektor pembuatan di Selangor hari ini.
Katanya, program itu mensasarkan tenaga kerja dalam sektor pembuatan kritikal dan diperkenalkan berikutan cadangan daripada persatuan industri, dewan perdagangan dan perusahaan kecil dan sederhana.
“Mereka hendak mempercepatkan vaksinasi bagi pekerja dalam sektor pembuatan agar pekerja kekal berasa selamat di tempat kerja dan terhindar daripada bahaya Covid-19.
“Melalui PIKAS juga, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan menguruskan pentadbiran PPV termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.
“Majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan menolak gaji pekerja walaupun pekerja tidak lagi berkhidmat dengan syarikat selepas mendapat dos vaksinasi pertama,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan tetap komited dalam memastikan vaksinasi bagi golongan yang paling rentan dan telah mendaftar di bawah PICK akan kekal menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette