KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan lebihan dagangan berjumlah RM13.7 bilion, meningkat 32.3 peratus pada bulan Mei 2021.

Import Malaysia pada tempoh itu merekodkan lonjakan 50.3 peratus tahun ke tahun kepada RM78.6 bilion, melebihi pertumbuhan eksport untuk kali pertama sejak April 2020.

Manakala eksport negara mengekalkan momentum pertumbuhan positif apabila berkembang 47.3 peratus kepada RM92.3 bilion.

Jumlah dagangan Malaysia pada Mei 2021 bertumbuh 48.7 peratus, mencecah RM170.9 bilion berbanding Mei, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Peningkatan eksport disumbangkan oleh eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik berjumlah RM78.7 bilion, menyumbang 85.2 peratus kepada jumlah eksport, berkembang 45.9 peratus sementara eksport semula bernilai RM13.7 bilion, meningkat 56.1 peratus.

Bagaimanapun, seiring ketidaktentuan aktiviti ekonomi dalam negara, prestasi bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagagan
menunjukkan penurunan masimg-masing 12.6 peratus, 7.8 peratus, 10.4 peratus dan 32.5 peratus.

Selaras dengan pertumbuhan tahunan perdagangan, 200 daripada 257 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Bagi import, 226 daripada 259 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM4.1 bilion), Amerika Syarikat (+RM3.3 bilion), India (+RM3.0 bilion), Jepun (+RM2.1 bilion), China (+RM2.1 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM1.9 bilion).

Sementara itu, import yang lebih tinggi dicatat terutama dari China (+RM7.6 bilion), Singapura (+RM2.6 bilion), Taiwan (+RM1.9 bilion), Republik Korea (+RM1.7 bilion), Jepun (+RM1 .7 bilion) dan Indonesia (+ RM1.6 bilion).

Pertumbuhan eksport juga didorong oleh barangan elektrik dan elektronik (+RM8.1 bilion); keluaran getah(+RM3.6 bilion); keluaran petroleum (+RM3.0 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasakan minyak kelapa sawit (+RM2.2 bilion); barangan perkilangan logam (+RM2.1 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM1.6 bilion); petroleum mentah (+RM1.1 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM985.7 juta); dan gas ali cecair (+RM929.1 juta).

Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM4.9 bilion); keluaran petroleum (+RM4.3 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM2.7 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.8 bilion); barangan besi dan keluli (+RM1.6 bilion); barangan perkilangan logam (+RM1.5 bilion); keluaran getah (+RM1.2 bilion) dan kelengkapan pengangkutan (+RM1.1 bilion).

Bagi tempoh yang sama, pertumbuhan import bagi penggunaan akhir disokong oleh kenaikan permintaan terutamanya bagi barangan perantaraan.

Import barangan perantaraan (59.7% daripada jumlah import) meningkat ketara RM16.1 bilion atau 52.4 peratus.

Barangan penggunaan (9.1% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 37.8 peratus daripada RM5.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM7.1 bilion.

Import barangan modal yang berjumlah RM8.9 bilion, meningkat 34.0 peratus berbanding Mei 2020, dan merangkumi 11.4 peratus daripada jumlah import. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast