Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah (dua kiri) bersama isteri mangsa, Amirah Mustapa, 29, melihat tempat kejadian mangsa yang terjatuh dari tingkat 10 ketika menyelenggara penghawa dingin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Insiden seorang pekerja penyelenggaraan penghawa dingin cedera selepas terjatuh dari tingkat 10 IPD Dang Wangi ketika sedang melakukan kerjanya pada 20 Jun lalu telah mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini.

Ketua Polis Daerah itu, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, Muhammad Fathullah Muhammad Zafri, 31, juga mematuhi SOP keselamatan ketika melakukan kerja itu bersama seorang rakannya dan dibantu dua anggota polis lain.

Jelas beliau, insiden yang berlaku mungkin disebabkan mangsa hilang keseimbangan badan ketika memindahkan unit luar atau ‘kompresor’ penghawa dingin yang menyebabkan beliau terjatuh.

“Ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakan dan dua anggota polis dan SOP memang dipatuhi kerana kerana kerja-kerja penyelenggaran berada dalam 17 senarai perkhidmatan keperluan yang dibenarkan bekerja dalam SOP PKP penuh ketika ini.

“Ia berada dalam senarai nombor 15 dan tidak ada masalah (bekerja).

“Mangsa terjatuh mungkin kerana kehilangan keseimbangan badan ketika hendak menggantikan kompresor yang berat untuk digantikan dengan yang baharu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah bercakap selepas menyampaikan sumbangan kepada isteri mangsa yang terjatuh dari tingkat 10 ketika menyelenggara penghawa dingin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2021.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuang sumbangan kepada isteri Muhammad Fathullah iaitu Amirah Mustapa, 29, di IPD Dang Wangi di sini hari ini

Turut hadir bapa mangsa, Muhammad Zafri Abu Zahrin.

Pada 20 Jun lalu, Muhammad Fathullah yang juga seorang pekerja penyelenggaraan penghawa dingin cedera selepas terjatuh dari tingkat 10 IPD Dang Wangi ketika sedang melakukan kerjanya.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, anggota bertugas kaunter pertanyaan Balai Polis Dang Wangi ketika sedang bertugas terdengar bunyi dentuman dari arah luar lobi IPD Dang Wangi.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang individu terbaring di atas lantai di luar lobi IPD Dang Wangi dengan mengalami kecederaan pada tubuh badannya.

Mengulas lanjut, Mohamad Zainal memberitahu, pihaknya berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM5,200 hasil kutipan anggota, pegawai dan kariah surau serta Pertubuhan Kebajikan Isteri Polis IPD itu.

Jelas beliau, sumbangan itu sebagai tanda prihatin dengan nasib Muhammad Fathulullah yang mempunyai isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang masih kecil.

“Pada situasi sekarang banyak dugaan dan halangan yang dihadapi keluarga mangsa yang hanya bekerja sendiri.

“Sumbangan ini merupakan tanggungjawab sosial atas keprihatian sesama manusia selain peranan polis yang tidak boleh berpisah dengan masyarakat.

“Apatah lagi difahamkan mangsa mengalami banyak kecederaan dan dijangka mengambil masa lama untuk pulih.

“Saya berharap keluarga mangsa tabah dan banyak berdoa agar dipermudahkan urusan mereka khususnya isteri untuk menjaga anak-anak yang masih kecil,” katanya. – MalaysiaGazette

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada isteri mangsa, Amirah Mustapa, 29, dan diiringi bapa mangsa, Muhammad Zafri Abu Zahrin, 58, yang terjatuh dari tingkat 10 ketika menyelenggara penghawa dingin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2021.