Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa dengan beberapa inisiatif tambahan yang akan dilaksanakan kerajaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, bagi mempercepat jadual pelaksanaan PICK, sejumlah RM400 juta diperuntukkan untuk menambah bekalan vaksin negara.

“Ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

“Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun dengan yang menduduki SPM tahun ini akan diutamakan.

“Kita sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus yang menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam Pengumuman Khas Pemulih, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan telah membuka sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan PPV Institusi Pengajian Tinggi.

Jelasnya, bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin harian, pihak berwajib telah membuka 29 PPV baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu.

“PPV Bergerak dan program Outreach Home-to-Home dengan peruntukan keseluruhan berjumlahRM200 juta,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga telah umumkan kenaikan bayaran sagu hati daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun.

“Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin. Saya juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette