Stuart Ramalingam.

PETALING JAYA – Tarikh permulaan kejohanan bola sepak Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2021 dianjakkan ke satu tarikh yang baharu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pertandingan berkenaan dijangka bermula pada awal September ini.

Katanya, keputusan itu diambil berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula pada 1 Jun lalu yang sepatutnya berakhir hari ini, masih dikekalkan penguatkuasaannya oleh kerajaan.

“Ia ditambah pula dengan pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Perdana Menteri yang turut akan melalui beberapa fasa yang telah ditetapkan.

“Sehubungan itu, pertandingan-pertandingan di atas dijangka hanya akan dapat dimulakan seawal September 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Stuart, latihan pasukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 30 hari sebelum sepak mula setiap pertandingan.

Katanya, ia bergantung kepada keadaan semasa jumlah kes baharu harian Covid-19 yang akan mempengaruhi peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ujar Stuart, FAM pada masa sama berusaha dan berkomunikasi dengan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan kelulusan untuk kesemua pertandingan itu supaya ia dapat dijalankan secepat mungkin.

“Sebagai usaha untuk mengekalkan kesinambungan menjelang sepak mula pertandingan-pertandingan di atas, FAM juga akan memperkenalkan beberapa aktiviti atau bengkel secara dalam talian (online) yang berkaitan dengan pasukan-pasukan dalam masa terdekat ini.

“Pemakluman lanjut mengenai aktiviti ini akan dibuat sejurus selepas semua perkara diperincikan,” katanya Stuart. – MalaysiaGazette