Noh Omar

TANJONG KARANG – Kes positif  Covid-19 di Selangor dijangka mampu diturunkan dengan kadar segera jika kerajaan negeri mempercepatkan pemberian vaksinasi.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, salah satu kaedah terbaik ialah dengan mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekurang-kurangya satu di setiap kawasan Parlimen.

“Di Selangor ada sembilan daerah, tetapi mempunyai 22 kawasan Parlimen.

“Kalau dapat diperbanyakkan PPV di setiap Parlimen, di Selangor sekurang-kurangnya kena ada 22 PPV.

“Selangor mempunyai rakyat yang paling ramai dan rekod paling tinggi kes baharu setiap hari, jadi kena beri tumpuan yang lebih di Selangor,” katanya kepada pemberita di Institut Pengurusan Peladang Tg Karang, hari ini.

Dalam pada itu, pembukaan PPV perlu mengikut jumlah rakyat dan keluasan sesebuah kawasan itu kerana terdapat sesetengah daerah memerlukan lebih sebuah fasiliti vaksinasi.

“Dalam daerah Sabak Bernam ada dua Parlimen, iaitu Parlimen Sungai Besar dan Sabak Bernam. Sekarang hanya ada satu sahaja PPV di Sabak Bernam.

“Ada Parlimen yang luas, seperti Hulu Selangor, satu daerah ada satu Parlimen, tapi kawasan Parlimen dia luas, mungkin kawasan itu perlu dua PPV,” katanya.

Katanya lagi, jika kerajaan negeri mempunyai kemampuan, beliau mengesyorkan pembukaan PPV mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selangor mempunyai 56 DUN, kalau setiap DUN ada PPV, itu lagi cepat kita boleh mengatasi masalah Covid-19 dalam Selangor ini,” katanya. – MalaysiaGazette