Mohd Khalid Harun

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta tidak melanjutkan pengisytiharan darurat selepas 1 Ogos ini kerana tindakan itu menyebabkan sektor pelancongan negara terus dalam keadaan sukar.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, jika sektor perniagaan lain hampir mati akibat penangan Covid-19, sektor pelancongan negara pula sudah ‘lenyap’ 15 bulan lalu.

Menurutnya, keadaan diburukkan lagi apabila Malaysia menjadi satu-satunya negara di dunia yang mengisytiharkan darurat.

Beliau berkata, walaupun pengisytiharan darurat itu disebabkan Covid-19 tetapi di mata industri itu, darurat boleh membawa konotasi berbeza iaitu ketidakstabilan politik dan krisis ekonomi, sekali gus mencetuskan ketidakyakinan orang ramai terhadap Malaysia.

Apabila timbul ketidakyakinan terhadap negara, maka sukarlah untuk menjual produk-produk pelancongan ke luar disebabkan pelbagai persepsi yang timbul.

“Memanglah sekarang sektor pelancongan dunia sudah lumpuh tetapi apabila Malaysia diisytiharkan darurat ia menyukarkan lagi kami sebagai peserta industri.

“Kita hendak cakap pasal pelancongan negara pun susah, nak cakap apa sebab negara darurat. Kalau kita jual produk pun siapa hendak percaya, sebab Malaysia darurat.

“Dalam sektor pelancongan ni, istilah darurat itu memberi imej yang buruk. Ia menggambarkan ketidakstabilan politik dan ekonomi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lantaran itu, Mohd Khalid menaruh harapan besar agar darurat yang masih dikuatkuasa di negara ini tidak lagi dilanjutkan demi kelangsungan ekonomi Malaysia pasca Covid-19.

Katanya, lagi lama negara diletakkan dalam darurat, segala-galanya akan jadi sukar bagi ‘orang bisnes’.

Sekurang-kurangnya jika darurat ditarik balik, peserta-peserta industri ini boleh merancang pelbagai strategi menjual produk pelancongan secara maya atau kaedah lain.

“Walaupun sempadan negara belum dibuka tetapi masih ada ikhtiar yang diboleh dilakukan.  Dengan syarat tariklah semula darurat.

“Bila darurat nak jual apa pun tak laku,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Khalid meminta kerajaan menyegerakan proses vaksinasi pekerja-pekerja industri pelancongan supaya mereka bersedia pada bila-bila masa sekiranya sektor ini dibuka.

Tegas beliau, selagi pekerja-pekerja sektor ini tidak divaksinasi memang sukar untuk ia beroperasi semula jika ekonomi secara keseluruhan dibuka.

“Nanti wujud kes jangkitan seperti yang berlaku dalam kalangan pelancong ke Genting Highland. Jadi sementara sektor ini ditutup maka berusahalah untuk menyelesaikan vaksinasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast