Foto Instagram Fitri Haris.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Fitri Haris dikurniakan anak kedua semalam selepas anak sulungnya kini berusia 16 tahun.

Menerusi Instagram (IG),  Fitri turut menyatakan anaknya dimasukkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan memohon peminat mendoakan permata hatinya itu.

Isterinya, Fazilah Omar selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital pakar di Bangi, Selangor.

Fitri yang menjuarai musim kedua Gema Gegar Vaganza (GGV) mengaku teruja menyambut kelahiran puteranya itu seolah-olah cahaya mata sulung.

Pada Disember tahun lalu, Fitri yang juga bekas anggota UNIC mengumumkan berkahwin dengan Fazilah atau mesra disapa El.

Fitri pernah tiga kali menduda dan mempunyai seorang cahaya mata, Sofea Soleha, 16, yang menetap bersama bekas isterinya di Singapura.

Fazilah juga pernah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan anak lelaki, Qhalish Rayyan Adam, 10. – MalaysiaGazette