Kempen kibarkan bendera putih semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia prihatin.
KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 telah menjejaskan kehidupan penduduk dunia termasuk di Malaysia.
Ramai yang terjejas fizikal dan mental menyebabkan ada kalangan rakyat yang tidak mampu menanggung tekanan hidup mengambil jalan singkat untuk menamatkan penderitaan.
Laporan mengenai kejadian bunuh diri, kemurungan dan pengangguran kesan pandemik Covid-19 semakin membimbangkan.
Prihatin dengan perkembangan semasa, warga maya mengorak kempen ‘kibarkan kain putih’ bagi golongan yang memerlukan bantuan keperluan harian.
Warga maya menasihatkan mana-mana individu yang mengalami kesusahan seperti tiada makanan supaya menaikkan bendera di rumah masing-masing.
“Biar orang sekeliling pakat bantu, beri sedikit sebanyak yang termampu. Jangan ambil tindakan yang merugikan diri sendiri dan keluarga. Elakkan stress, berkongsilah masalah dengan orang ramai.
“Tidak perlu merayu
Tidak perlu rasa malu
Hanya kibarkan kain putih
Semoga ada yang datang membantu.”
Itu antara kata-kata warga maya dalam kempen ‘kibarkan kain putih’ yang mula mendapat sambutan orang ramai.
Turut memanjangkan kempen itu adalah selebriti Aznil Nawawi yang memuat naik gambar bendera putih di laman Instagram beliau dengan tanda pagar #kitaadakita #kibarbenderaputih.
Sama-samalah kita meringankan golongan yang memerlukan bantuan saat ini. – MalaysiaGazette