Ismail Sabri, pemimpin yang membawa nama baik UMNO.

SEAWAL UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tiga tahun lalu, nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mula melonjak dan diberikan tumpuan oleh rakyat.

Sebelum itu, bagi kalangan penyokong UMNO, nama Ahli Parlimen Bera itu sudah tidak asing lagi dan dilihat antara pemimpin muda yang bakal memimpin parti satu ketika nanti.

Dengan jawatan Naib Presiden selepas UMNO tidak lagi menjadi kerajaan, maka ianya layak untuk diangkat pemimpin kanan yang berada di puncak kepimpinan parti.

Sebagai Ketua Pembangkang yang mendapat kepercayaan seluruh gabungan pembangkang melibatkan UMNO, Pas, GPS (Sarawak) dan parti komponen BN iaitu MIC dan MCA) serta lain-lain, mencerminkan keperibadian Ismail Sabri telah diterima rakan untuk mengepalai satu kumpulan yang tidak lagi memiliki apa jua kelebihan.

Mengepalai satu kumpulan yang besar sebagai Ketua Pembangkang bukanlah mudah, pandangan dan cadangan rakan dari pelbagai parti yang tidak mempunyai persepakatan atau persefahaman kepartian harus diperhalusi untuk dibina satu kuasa pendesak.

Juga kuasa pembangkang yang boleh mencabar dasar atau hala tuju sebuah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tidak memiliki pengalaman memerintah sebuah negara yang cukup kaya dengan hasil masyhurnya dan sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan agama.

Kejayaan demi kejayaan dicipta Ismail Sabri ketika menjadi Ketua Pembangkang, antaranya beliau dan barisan pembangkang berjaya memaksa kerajaan PH membuat beberapa U-Turn kepada keputusan yang dilihat tidak adil kepada rakyat.

Ismail Sabri juga berjaya memperjuangkan isu kerisauan rakyat Sabah berkaitan Pas Sementara Sabah (PSS). Lihat https://m.facebook.com/ismailsabri60/posts/10158354118246282

Antara kejayaan terbesar pembangkang ketika diketuai Ismail Sabri ialah berkaitan Undi 18 Tahun di mana pembangkang telah menetapkan syarat untuk menyokong usul yang dibawa kerajaan PH ketika itu.

Sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan anggota tentera dan rakyat keseluruhannya.

Kejayaan untuk memaksa kerajaan PH melaksanakan Undi 18 secara automatik dan umur 18 tahun juga boleh menjadi calon pada pilihanraya secara automatik, di samping harus meminda beberapa klausa dalam perlembagaan.

Kejayaan untuk bangsa Melayu Islam yang telah diperjuangkan oleh Ismail Sabri bersama rakan dalam pembangkang ialah berjaya mendesak kerajaan PH melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan pengedaran buku Komik Inisiatif Jalur dan Jalan oleh DAP kepada generasi anak muda Malaysia.

Ianya menjadi tanggungjawab pemimpin Islam Melayu untuk memastikan fahaman dan ideologi komunis tidak disuburkan kembali ke dalam pemikiran anak-anak muda dari pengedaran komik yang telah dirancang oleh DAP setelah mereka memiliki kuasa di Putrajaya. Lihat https://youtu.be/MWa5a6ktQ54

Banyak lagi kejayaan yang dibawa Ismail Sabri sepanjang menjadi Ketua Pembangkang terutama dalam memperjuangkan nasib rakyat dan golongan petani, penternak dan pekebun kecil.

Kejayaan ini boleh kita lihat dalam ucapannya ketika membahas Belanjawan 2020 oleh kerajaan PH ketika itu. Lihat https://tokabahkau.com/video-belanjawan2020-ucapan-ketua-pembangkang-dato-seri-ismail-sabri/

Setelah kerajaan PH tumbang hasil dari perebutan kuasa dan jawatan Perdana Menteri dari kalangan kepimpinan parti itu sendiri, maka tertubuhlah kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang mana berlaku persetujuan antara Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan, seterusnya menjadi wakil UMNO paling kanan dalam kerajaan PN bersama Ahli-ahli Parlimen dari BN yang lain.

Selepas 10 hari mengangkat sumpah jawatan Menteri Kanan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan dan beliau diberikan peranan sebagai Menteri Penyelaras kepada Jawatankuasa Menangani Covid-19 serta menjadi jurucakap kerajaan untuk menangani perihal berkaitan pandemik itu.

Ismail Sabri menjadi perantara antara kerajaan PN dan UMNO/BN. Beliau diberikan tanggungjawab cukup penting dalam menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara dan telah melonjakkan namanya yang setiap hari tampil di pelbagai media untuk mengumumkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan rakyat dalam tempoh PKP.

Ketika itu beliau amat dikenali, tidak ada rakyat tidak mengenalinya sehingga netizen alam maya pun mengenali beliau dengan jolokan Pak Long Mail, malah kanak-kanak turut lebih mengenalinya sebagai Atok Mail.

Menjadi fenomena baharu kepada rakyat menanti setiap hujung minggu untuk melihat corak dan warna pakaian Pak Long Mail. Netizen pula lebih gemar menyamakan corak dan design baju dengan juadah kuih muih, kek dan jenis minuman kerana ketika itu juga merupakan bulan Ramadan.

Jam 2 petang akan menjadi waktu untuk rakyat berada di depan kaca televisyen demi untuk mendengar apa pesanan dan tegahan Pak Long ketika pelaksanaan PKP 1.0 dahulu.

Sebagai menteri yang mewakili UMNO, sudah pasti rakyat melihat betapa perbezaan kualiti dan krebiliti seorang menteri dari UMNO dengan menteri yang berada dalam PN dari kalangan bekas PH itu sendiri.

Keperibadian, pengalaman dan kebertanggungjawaban amat terserlah perbezaannya. Secara tidak langsung rakyat merindui pemerintahan UMNO/BN dan mengembalikan kepercayaan rakyat yang pernah melakukan kesilapan menolak kerajaan UMNO/BN pada PRU14 tiga tahun lepas.

Dalam era kerajaan PH, Ismail Sabri adalah Ketua Pembangkang yang lantang.

Kecemerlangan itu berterusan sehinggalah berlaku isu dalaman parti yang merencatkan penampakan kejayaan menteri UMNO. Pelbagai kejayaan dalam pilihan raya kecil oleh UMNO juga direncatkan oleh imej keberantakan dalaman.

Tidak cukup dengan itu, berlaku naratif tidak elok bagi kalangan menteri dan kepimpinan dalaman UMNO sendiri. Ada kluster mahkamah dan timbul pula kluster menteri. Pertembungan antara dua kelompok ini secara tidak langsung mencalarkan imej kebangkitan UMNO.

Lagi parah apabila rakyat melihat keberantakan dalaman itu menjejaskan hubungan antara parti dalam PN sebagai sebuah kerajaan. Pembangkang (PH) pula bijak mengambil kesempatan dan memainkan peranan mereka memecahkan kesatuan antara parti Melayu sehingga meretakkan hubungan antara parti dalam kerajaan.

Pemimpin UMNO dilihat lebih selesa untuk menyerang dan menelanjangkan kerajaan PN.

Permuafakatan antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) juga sedang diperjudikan pihak tertentu yang termakan dengan mainan strategi PH. Akar umbi UMNO tidak lagi berlapit menyuarakan permusuhan antara parti Melayu yang bekerjasama menubuhkan kerajaan Melayu.

UMNO kembali mempertikaikan keikhlasan Pas apabila parti itu bersama PPBM dalam pembentukan Perikanan Nasional. Ahli UMNO secara terbuka menolak kerjasama bersama PN dan PPBM.

Penyatuan parti Melayu dilihat gagal dan bakal runtuh. Musuh Melayu sekali lagi bersorak dan melompat riang. Anwar dan DAP kembali relevan. Apa jua kepincangan kerajaan dilihat sebagai kegagalan menyeluruh. PKR, DAP dan Amanah tidak lagi perlu untuk menyerang kerajaan PN kerana semua itu telah diambil tugasnya oleh akar umbi dan sesetengah kepimpinan UMNO sama ada di peringkat pusat atau negeri.

UMNO lantang mendabik dada bahawa mereka berjaya meyakinkan rakyat tanpa bantuan parti Melayu lain. Sesetengah rakyat melihat itu sebagai sikap kesombongan yang kembali wujud dalam diri setiap ahli UMNO. Kesombongan ini pernah dilihat dan berlaku sebelum PRU-14 sehingga mengorbankan sebuah kerajaan yang memerintah lebih 60 tahun.

Kesombongan yang sama sedang UMNO bawa kembali. Apakah ini formula yang bakal memenangkan UMNO/BN pada PRU-15 akan datang atau sebaliknya?

Berbalik kepada Ismail Sabri, nampaknya imej kejayaan yang dibawa olehnya dalam kerajaan PN bersama rakan Ahli Parlimen lain secara tidak langsung telah dicantas dan ditenggelamkan oleh sebahagian kepimpinan UMNO itu sendiri.

Seolah-olah tidak ada lagi wakil UMNO dalam kerajaan PN. Seolah tiada lagi kerjasama antara UMNO dan kerajaan PN. Pembangkang sekarang memeluk tubuh tanpa perlu menyerang lagi kerana saban hari kerajaan PN atau PPBM diserang seteru dalaman yang bukan berstatus pembangkang pun.

UMNO dilihat sebagai musuh kepada kerajaan PN, sedangkan UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan. Rakyat amat gembira apabila kerajaan yang didominasikan oleh DAP tumbang dan digantikan dengan kerajaan Melayu Islam.

Ini merupakan hasrat dan harapan orang Islam dan Melayu, namun kebelakangan ini kerajaan Melayu Islam ini nampak semakin rapuh dan akan runtuh serta ada agenda pihak tertentu untuk mengembalikan kerajaan PH (DAP) berkuasa kembali. Ini bercanggah dengan apa yang ada dalam konsensus UMNO yang masih tidak berubah iaitu “No PKR (Anwar)” dan “No DAP”.

Pada pandangan saya, amat rugi bilamana rakyat hari ini sedang menilai setiap pencapaian parti-parti setelah kegagalan nyata kerajaan 22 bulan PH sebelumnya. Seharusnya UMNO lebih bijak menggunakan kelebihan yang ada pada menterinya untuk mengembalikan keyakinan bahawa sememangnya hanya UMNO/BN yang mampu menguruskan dan menerajui kerajaan dengan baik dan rasional.

Pengalaman dan tradisi UMNO telah terbukti memperjuangkan nasib rakyat berbanding retorik kerajaan PH sebelum ini.

Seharusnya juga rakyat dihidang dan dijelaskan akan kejayaan menteri UMNO/BN ini untuk mengembalikan kepercayaan rakyat berdepan PRU-15 nanti. Kejayaan Ismail Sabri sebagai menteri bertanggungjawab mengetuai pasukan menangani Covid-19 negara perlu diuar-uarkan sebagai pencapaian cemerlang menteri dari UMNO.

Kebolehan Datuk Seri Dr. Adham Baba mengetuai Kementerian Kesihatan (KKM) yang paling penting dalam pandemik membuktikan kualiti seorang kepimpinan UMNO. Kehebatan menteri lain mengurus vaksin oleh Khairy Jamaluddin.

Kejayaan menjalin dan mengekalkan hubungan dengan negara luar oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Kejayaan Menteri Tenaga, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang sentiasa memikirkan bagaimana hendak meringankan beban belanja eletrik kepada rakyat dengan pemotongan tarif dan subsidi yang diumumkan.

Bagaimana warga kota diberikan keutamaan dan gelandangan diberikan layanan yang tidak pernah difikirkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini juga mencatatkan kejayaan sebagai menteri UMNO yang menonjol seperti Tan Sri Annuar Musa.

Penuntut IPTA dan IPTS juga dijaga kebajikan sepanjang pandemik oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad. Bahkan, banyak lagi pencapaian cemerlang menteri dan timbalan menteri dari UMNO.

Ini tidak termasuk kejayaan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang menjadi pengerusi anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sentiasa menunjukkan komitmen dan tanggungjawab tinggi dengan membawa imej parti UMNO itu sendiri.

Seharusnya wakil UMNO dalam kerajaan PN ini menjadi duta dan pembawa mandat parti yang akan diperjuangkan dari dalam kerajaan, bukan menjadi sebahagian pembangkang dalam dan luar kerajaan sehingga merencatkan apa jua perancangan untuk kebaikan rakyat.

Gunakan kelebihan yang ada pada wakil UMNO ini untuk rakyat menerima kembali perjuangan parti keramat orang Melayu ini. Manfaatkan kelebihan yang ada sebagai sebahagian kerajaan untuk meyakinkan rakyat bahawa UMNO/BN merupakan parti yang sentiasa dekat dengan kehidupan rakyat.

UMNO tidak harus menjadi sebuah parti yang sentiasa dilihat mencetuskan ketidakstabilan politik sama ada dari dalam atau luar kerajaan. UMNO jangan sesekali dilihat sebagai sebuah parti yang hanya mementingkan kedudukan individu tertentu.

Jauh sekali UMNO tidak harus dilihat sebagai sebuah parti yang hanya berkisar soal kuasa dan kedudukan pemimpinnya dan hanya berbicara soal nama tertentu yang kadang kala memualkan penyokong dan ahli parti itu sendiri.

UMNO harus mengembalikan kepercayaan rakyat untuk menjadi sebuah parti yang memperjuangkan nasib mereka tanpa mengira di mana keberadaan parti itu. Rakyat sedang menilai dan menafsirkan nasib UMNO untuk PRU akan datang.

Wan Khairul Ihsan

Penulis, Wan Khairul Ihsan adalah penganalisis politik dan Pengerusi Institut Modenisasi Pemikiran Anak Kebangsaan (IMPAK).

1 Komen

  1. Jilat jgn tak jilat..cuma satu laaa..Mail Sabri telah membodohkan diri dengan menjadi sebahagian daripada kuda tunggangan Muhyidin dan Azmin…ketika rakyat susah dan tertekan dgn dasar2 bodoh kerajaan PN, Mail Sabri mengambil sikap membisu…tidak ada sepatah haram pun suara dalam mendesak PN supaya tidak menganiaya rakyat…cthnya dlm hal moratorium, bantuan kpd rakyat, kenaikan harga barang dll. Beliau jd bodoh dan hanya jd yes man kpd Mudin & Jimin musibat….

Comments are closed.