HARI ini, genap 29 hari, rakyat Malaysia dengan rela paksa, mengikuti Perintah Kawalan
Pergerakan 3.0 (PKP), demi mengembalikan kehidupan sebelum pandemik ini merajalela.
Berencam rasa menyelubungi dan pelbagai cabaran terpaksa didepani kita semua.
Dapat kita saksikan realitinya di media sosial, keluhan demi keluhan, kegusaran demi
kegusaran bagaimana untuk terus melaluinya. Jika pihak kerajaan meneruskan lagi PKP
tanpa persiapan yang rapi, maka rakyatlah yang terancam dengan sebarang risiko yang
tidak diingini.
Sejauh mana kepedulian dan langkah-langkah untuk menanganinya diusahakan oleh pihak kerajaan terhadap isu yang sangat membimbangkan masyarakat kini? Tentunya, dengan PKP ini bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi, kewangan, malah turut menjejaskan kesihatan mental rakyat!
“Seperti sewaktu PKP 1.0 terdapat banyak kes membabitkan masalah mental, kes bunuh
diri juga banyak berlaku, cuma kita tidak hebohkan perkara ini,” menurut kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar yang disiarkan media pada 22 Mei 2021 lalu.
Sebagaimana yang dilaporkan media pada 18 November 2020, berdasarkan statistik Polis
Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac hingga 30
Oktober lalu ketika PKP 1.0.
Itu adalah angka yang ‘dihebohkan.’ Boleh jadi angka itu lebih lagi daripada apa yang
didedahkan kepada rakyat. Di mana tindakan serius pihak kerajaan untuk menangani isu
ini?
10 orang sebulan!
Dilaporkan sekurang-kurangnya 10 orang membunuh diri sebulan di Pulau Pinang dalam
tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu sepanjang pelaksanaan PKP. “Sebanyak 53 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negeri ini antara Januari hingga Mei tahun ini,” kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang memaklumkan data tersebut pada baru-baru ini, 21 Jun 2021.
Dalam pada itu, sepanjang tempoh lima bulan ini juga, sebanyak 19 kes cubaan bunuh diri turut dilaporkan berlaku di negeri tersebut. Ini baru data bagi sebuah negeri dalam Malaysia. Bagaimana jika purata sebegitu sama di negeri-negeri lain? Nauzubillah, tentunya bukan sedikit.
Semalam juga telah tular satu video seorang lelaki yang dipercayai menghadapi
kemurungan selepas gagal dalam perniagaan, maut selepas dikatakan terjun dari tingkat 10 di sebuah pangsapuri di Pulau Pinang. “Polis menerima panggilan seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga pengerusi pangsapuri berkenaan pada jam 6.45 petang berhubung insiden itu,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, sebagaimana yang dilaporkan berita.
Bagaimana reaksi 72 orang barisan menteri dan timbalan menteri ketika mengetahui isu-isu sebegini? Sangat sadis sekali bagi sebuah negara jika isu bunuh diri seperti itu tidak dapat ditangani oleh pihak kerajaan dengan kabinet yang paling ramai.
Jangan biarkan terus menular
Realitinya rakyat sangat terkesan dengan situasi yang terpaksa dihadapi ini. Bukan sedikit
angka, yang dilaporkan. Tetapi sebelum ia membarah dan menjadi wabak, seharusnya ada jalan penyelesaiannya agar tidak berlaku demikian, perlulah digiatkan.
Sebagaimana kata Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Dr
Natasya Abdullah dan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti
Sains Islam Malaysia, Dr Noor Dzuhaidah Osman: “Kejadian bunuh diri adalah sesuatu yang boleh dielakkan. Terdapat beberapa rawatan farmakoterapi dan juga psikoterapi yang boleh diberi bagi merawat punca masalah tersebut. Masyarakat perlu dididik untuk peka dan mengenal pasti tanda-tanda amaran yang ada berlaku sama ada pada ahli keluarga, rakan sejawat ataupun sesiapa sahaja.”
Menurutnya lagi, bantuan dan sokongan emosi perlu disediakan oleh pelbagai pihak bagi
membolehkan seseorang yang mempunyai masalah emosi dan kecelaruan bagi
mendapatkan bantuan. Malahan, kerajaan juga perlu lebih prihatin kepada mereka yang mengalami kesusahan terutama semasa pandemik ini, dengan meringankan beban termasuklah beban kewangan.
“Pihak media juga perlu memainkan peranan untuk tidak mensensasikan berita-berita yang melibatkan bunuh diri dan bersifat prejudis kepada mangsa, tetapi perlu diubah kepada berita yang boleh membangkitkan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.”
Hakikatnya, peranan yang jelas dapat dilaksanakan pihak kerajaan ialah mewujudkan
advokasi atau pendedahan yang terbaik untuk mengurangkan atau mensifarkan kes ini.
Pergiatkan kempen di medium-medium utama negara agar rakyat jelas keadaan itu adalah sesuatu yang bahaya bukan untuk diri tetapi keluarga juga lingkungan.
Tentunya institusi kesihatan mental juga agama wajar mengambil peranan dan
memperkasakan sistem sedia ada. Tanggungjawab dalam kalangan masyarakat pula, mereka perlulah bersikap terbuka menerima hakikat dirinya atau keluarganya mengalami masalah kesihatan mental dan segera mendapatkan bantuan rawatan.
Pelbagai faktor dikenal pasti berdasarkan kes yang lalu, antaranya bebanan hutang yang
tinggi selepas hilang pekerjaan dan masalah keluarga menjadi punca utama seseorang
nekad meragut nyawanya sendiri ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Bendunglah ia segera sebelum parah!
Peranan kita semua
“Takut baca berita akhir-akhir ni. Banyaknya kes depression yang membawa kepada bunuh diri,” kata pelayar FB Mija Azmiza. Tambahnya lagi, musim pandemik yang ramai terkesan ini, yang M40 pun dah jadi B40. Yang hilang kerja, yang jauh dari keluarga, yang hilang rutin bersosial, yang dihempap hutang kiri kanan dan banyak lagi tekanan demi tekanan. “Kita? Jika sudah mulai rasa stress yang bila-bila masa akan jadi depress, call for help ok! Hubungi mereka yang boleh menolong, boleh mendengar beban dalam kepala.
Jangan malu untuk meminta tolong. Semua kita maklum keadaan apa sekarang yang kita depani,” sarannya. Selain itu beliau menyarankan agar bertanya khabar dengan saudara mara dan kawan-kawan yang sedang dihimpit masalah, mereka yang tiba-tiba senyap, yang menunjukkan perubahan tingkah laku atau cara menulis di media sosial.
“Kita hadap semua ini bersama ok!” Dalam pada itu, pengguna FB yang bernama Syed Muhammad pula menerusi statusnya berkongsikan cara nak atasi rasa keseorangan dan depresi.
“Buletin Utama sebentar tadi melaporkan bagaimana Wati (bukan nama sebenar) jatuh ke
dalam perangkap depresi. Tinggal seorang dirumah, tiada kawan nak bercakap sebab
housematenya tersekat di kampung. End up nak bunuh diri dan dihantar ke HKL.”
Menurut beliau, sebenarnya rasa keseorangan itu bukanlah mengenai bilangan orang di
sekeliling kita, tetapi ia berkait dengan kualiti hubungan yang kita ada bersama mereka.
Beliau menyarankan tujuh cara untuk mengatasi rasa keseorangan dan depresi iaitu
memelihara binatang, mengurangkan penggunaan telefon bimbit, berkomunikasi, berkebun, berjemur di bawah cahaya matahari, membaca dan bersenam/bersukan.
“Main tali skipping pun boleh. Beli secara online. Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua OK!” ujarnya menghiburkan pembaca.
Dalam pada itu, memetik saranan seorang peguam syarie, Fadhlina Siddiq menerusi
halaman muka bukunya, beliau berkata:
“Media harus berhenti melaporkan kes bunuh diri / percubaan bunuh diri dengan tidak
mensensasikan ia seperti berita pelaris dan terdapat etika media serta kemaslahatan awam yang mesti menjadi unjuran keutamaan.”
Beliau juga turut kongsikan lapan panduan melaporkan isu bunuh diri di media iaitu:
1. Elak maklumat terperinci tentang tempat kejadian.
2. Selitkan cara dapatkan bantuan.
3. Ambil peluang didik masyarakat tentang bunuh diri.
4. Elak hurai cara bunuh diri.
5. Hormat mangsa dan keluarga.
6. Elak menggunakan gambar dan video.
7. Hati-hati lapor isu selebriti bunuh diri.
8. Tajuk berita yang bertanggungjawab.
“Kita bantu sebar dan ingatkan media ok?” Saranannya jelas. Dengan keseriusan kerajaan memikirkan dan berusaha mencari jalan penyelesaiannya, peranan individu dan masyarakat dalam menanganinya serta peranan besar pihak media dalam mendidik mengenainya, kita mengharapkan agar kesihatan mental rakyat kekal di
tahap yang terbaik dan terpelihara.
Atriza Umar
Pegawai Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia