Sebuah kenderaan e-hailing mengekori lori APM yang membawa pesakit Covid-19 keluar dari PKRC MEC di Jawi, Nibong Tebal di sini hari ini.

NIBONG TEBAL – Segelintir pemandu e-hailing dikesan mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tidak munasabah ke atas pesakit Covid-19 yang dibenarkan pulang dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di sini.

Rata-rata pemandu itu dikatakan ‘berebut’ mengambil penumpang secara haram iaitu tanpa membuka aplikasi e-hailing bagi mengaut keuntungan berganda.

Kenderaan e-hailing menunggu di luar kawasan PKCR untuk melihat lori APM membawa pesakit keluar ke stesen bas.

Bagaimanapun, kegiatan mereka berjaya dipatahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Ops Khas e-hailing yang diadakan selama dua hari bermula semalam.

Wartawan MalaysiaGazette yang mengikuti pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ melakukan intipan bermula jam 9 pagi mendapati pemandu e-hailing memenuhi ruang di jalan luar PKRC MEC sehingga jam 12 tengah hari.

Berdasarkan intipan itu, rata-rata pemandu e-hailing dilihat menunggu lori Angkatan Pertahanan Awam (APM) membawa keluar pesakit yang dibenarkan pulang sebaik sembuh daripda jangkitan Covid-19 ke stesen bas berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPD SPS)

Pemandu e-hailing dilihat ‘mempelawa’ penumpang menaiki kenderaan mereka sebaik turun dari lori APM berhadapan IPD SPS di sini hari ini.

Jarak antara PKRC MEC dengan IPD SPS ialah kira-kira 2.2 kilometer.

Intipan lebih tiga jam itu juga mendapati, pemandu berkenaan akan berkumpul di laluan berhampiran IPD SPS untuk ‘mempelawa’ penumpang menaiki kereta mereka tanpa menggunakan aplikasi e-hailing.

Remandu e-hailing rata-rata mengambil kesempatan terhadap penumpang warga asing khususnya.

Pemandu e-hailing ditahan bagi pemeriksaan sebaik mengambil penumpang PKRC MEC di Jawi hari ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, operasi itu dilakukan susulan aduan daripada pesakit yang mendakwa pemandu e-hailing mengambil kesempatan dengan mengenakan tambang tidak munasabah terhadap mereka.

Adenan.

Selain itu, jelas Adenan, pihaknya juga mendapati pemandu e-hailing berkumpul berhampiran IPD SPS susulan pihak pengurusan PKRC MEC tidak benarkan mereka mengambil penumpang di lokasi tersebut ekoran berlaku insiden pergaduhan berebut penumpang di kawasan berkenaan.

“Hasil operasi dijalankan selama dua hari itu kita memeriksa lebih 13 kenderaan e-hailing sebelum menahan 10 pemandu yang bertindak mengambil penumpang secara haram tanpa menggunakan sebarang aplikasi e-hailing.

“Semakan mendapati pemandu mengenakan caj lebih daripada aplikasi e-hailing khususnya ke atas penumpang warga asing.

Adenan memeriksa telefon pemandu yang tidak menggunakan aplikasi e-hailing dalam operasi khas hari ini.

“Contohnya kadar ditetapkan e-hailing itu ke lokasi penumpang RM52 namun pemandu mengenakan caj RM72,” katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa Valdor di sini hari ini.

Tambah Adenan, kesemua mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12A (5)(d) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Pegawai JPJ keluarkan saman terhadap pemandu e-hailing yang beroperasi secara haram.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, tindakan pemandu beroperasi secara haram tanpa menggunakan aplikasi e-hailing itu turut membahayakan nyawa penumpang kerana tiada sebarang perlindungan sekiranya berlaku kemalangan.

“Kita harap pemandu e-hailing lebih peka berhubung keselamatan mereka dan penumpang bukan sekadar mengaut keuntungan semata-mata.

“Operasi sebegini akan diteruskan bagi memastikan pemandu e-hailing mematuhi peraturan yang ditetapkan,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast