KUALA LUMPUR – Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia sedang giat menjejak kira-kira 2,000 bekas anggotanya di seluruh negara yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.
Pengerusinya, Zulkifli Rasol berkata, bermula minggu hadapan, pihaknya akan menggerakkan usaha itu bagi membantu anggotanya dan orang awam yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
“Kalau tiada halangan dalam minggu depan kami akan bergerak untuk membantu bekas-bekas tentera perisik yang terkesan dalam masa PKP ini.
“Kita sudah ada database, semua maklumat bekas tentera kita sudah ada cuma kita nak pergi jejak sahaja.
“Di luar sana terlalu ramai masyarakat dan bekas tentera yang susah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia, di sini, hari ini.
Terdahulu Zulkifli menerima replika cek berjumlah RM600,000 daripada Pengarah Pemasaran A1 Globe Sdn Bhd, Terence Lim Soon Hee bagi menjayakan program bantuan kepada bekas tentera perisik dan orang awam yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Hadir sama Penaung selaku Pengasas Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Salleh Ismail.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, untuk permulaan pihaknya akan menjejak 1,000 bekas tentera perisik di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kita telah merancang dalam masa terdekat ini untuk menjejak lebih kurang 1,000 bekas tentera dari Perlis ke Johor, Sabah dan Sarawak.
“Setiap negeri kita ada wakil untuk membuat program di sana dan kita akan menyampaikan sumbangan di sana.
“Semua saya sudah uruskan Insya-Allah dalam masa terdekat ini perkara itu akan tercapai,” katanya.
Zulkifli juga menyeru badan bukan kerajaan (NGO) untuk turun padang membantu masyarakat dan kerajaan untuk menyampaikan bantuan-bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan PKP sejak dua tahun lalu.
“Insya-Allah Yayasan akan menggunakan wang sumbangan kepada bekas-bekas tentera, orang awam dan warga asnaf,” katanya.
Selain bekas tentera, pihaknya turut menjejak orang ramai yang turut terjejas sepanjang pelaksanaan PKP.
“Dalam agenda, kami menjejak 70 peratus bekas tentera dan kita khususnya veteran tentera risik.
“Baki 30 peratus pula bantuan akan disalurkan kepada warga awam termasuk ibu tinggal, OKU, asnaf, anak-anak yatim.
“Kami akan jejak setiap minggu di setiap negeri Melaka, Pulau Pinang, Sg Petani Kedah untuk menyampaikan bantuan-bantuan ini,” katanya.
Setakat ini, Zulkifli menganggarkan sehingga 800 bekas tentera perisik sudah dibantu termasuk wang tunai, barang keperluan di seluruh negara.
“Rasanya bekas tentera ini dia pencen muda, ada yang berumur, dengan pencen yang sedikit. Malah tidak bekerja memang ramai yang terkesan akibat PKP ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette