Setiausaha Penggerak Komuniti Negara (PKN) Selangor, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee

KUALA LUMPUR – Penggerak Komuniti Negara (PKN) menggesa semua pihak harus mengenepikan perbezaan politik dan memanfaatkan kempen bendera putih untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan.

Setiausaha PKN Selangor, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee berkata, ia tidak wajar menjadi sasaran politik, sebaliknya semua pihak perlu menjayakannya dengan membantu mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kempen ini hasil inisiatif daripada rakyat sendiri dan manfaatnya juga untuk rakyat.

“Malangnya ada pihak cuba mempolitikkannya kononnya kempen ini merupakan bukti kegagalan kerajaan hari ini.

“Gunakanlah kempen ini tanpa niat terselindung. Sepatutnya ia dianggap sebagai platform tambahan bagi membantu golongan terdesak, bukannya dipolitikkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin turut sama menyokong kempen bendera putih itu.

“Saya bersama dalam kempen #benderaputih ini bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan.

“Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera,” ciapnya di akaun Twitter, semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Shazlee melahirkan rasa kesal apabila solidariti yang ditunjukkan ahli Parlimen Ampang itu disalah erti pemimpin pembangkang.

“YB Zuraida mengenepikan perbezaan politik dengan turut sama dalam kempen bendera putih selari dengan Action Beyond Politics yang telah beliau bawa sejak tahun lalu.

“Malah Parlimen Ampang juga telah memulakan kempen memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan sejak awal PKP 3.0,” katanya.

Katanya lagi, pembangkang diingatkan agar tidak memusnahkan generasi akan datang dengan mempertikaikan tindakan pemimpin yang benar-benar ingin membantu rakyat.

“Sampai-sampaikan, agar lebih ramai tahu erti isyarat ini. Semoga dipermudahkan urusan kita semua.

“Malangnya Pemuda Pakatan Harapan mengaitkan kempen ini sebagai bukti kelemahan kerajaan menjaga kebajikan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast