Pengerusi Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia (YBAPTM), Zulkifli Rasol (dua kiri) menerima replika cek sumbangan daripada Pengarah Pemasaran A1 Globe Sdn Bhd, Terence Lim Soon Hee (kanan) untuk membantu bekas tentera yang memerlukan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Isu tujuh sekeluarga bekas tentera yang tinggal di bawah Jambatan Loke Yew telah membuka mata semua pihak bahawa masih ada hero yang tidak didendang terpinggir dan hidup melarat meskipun berjasa kepada negara.

Penderitaan itu merupakan salah satu kisah hidup rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Tidak hairanlah jika kisah-kisah sedih rakyat ini mendapat perhatian pelbagai pihak kerana masih ada sebahagian masyarakat kita tidak terjejas ketika pandemik ini, lebih-lebih lagi pemain industri perkhidmatan perlu.

Syarikat A1 Globe Sdn Bhd, antara salah satu perkhidmatan perlu yang bermurah hati menghulurkan sumbangan sehingga RM600,000 kepada Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia sebelum disalurkan kepada golongan yang tidak bernasib baik ketika ini.

Menurut Pengarah Pemasarannya, Terence Lim Soon Hee, dia sendiri tersentuh dengan nasib bekas tentera yang terpaksa menjadi gelandangan kerana hilang pendapatan sepanjang tempoh PKP.

“Saya pun tahu banyak industri terjejas sebab mereka bukan industri perkhidmatan perlu.

“Ramai masyarakat menghadapi masalah kewangan. Sebab itu kami berusaha sedaya upaya menyumbang kepada masyarakat.

“Saya rasa yayasan ini boleh tolong bukan sahaja bekas tentera bahkan semua masyarakat dan bangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette di ibu pejabat Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia, di sini, hari ini.

Terence Lim Soon Hee

Terdahulu Terence Lim menyerahkan replika cek berjumlah RM600,000 kepada Pengerusi Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia, Zulkifli Rasol bagi menjayakan program bantuan kepada bekas tentera perisik dan orang awam yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Hadir sama Penaung selaku Pengasas Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Mohd Salleh Ismail.

Dalam pada itu, sumbangan itu merupakan sebahagian tanggungjawab korporat sosial (CSR) kepada masyarakat, apatah lagi ketika ramai terjejas dan hilang pendapatan ketika ini.

“Sebelum ini kita pernah beri sumbangan kepada hospital, kita ada perancangan pada hadapan untuk beri sumbangan kepada sekolah.

“Kita harap dapat bantu lebih ramai lagi orang yang tidak bernasib baik dan susah dari segi kewangan kita cuba terbaik untuk bantu mereka.

“Kita bantu dengan membekalkan PPE, sumbangan, makanan dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Baka tentera PKM yang ditubuhkan dan dibiayai oleh Tanah Besar Cina sehingga 1989 lagi hebat jadi kaya-raya buka kebun musang king haram jadah di hutan simpanan tanpa dikenakan sewa mahupun cukai kemudian tuntut janji diiberi tanah pulak dah.

Comments are closed.