KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menambah kepada 50 universiti terbaik di dunia bagi Program World’s Top Universities (WTU) di bawah penganjuran pelajarannya.

Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun, melalui penambahbaikan ini, ia dapat memperluaskan pilihan universiti terbaik kepada pelajar dalam memilih bidang yang bersesuaian dan diminati untuk menyambung pengajian.

Tambah beliau, trend dan permintaan yang tinggi terhadap permohonan untuk melanjutkan pengajian ke negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Kanada dan lain-lain yang menyediakan kualiti pendidikan terbaik turut diambil kira.

Program WTU merupakan program pinjaman pelajaran Mara kepada pelajar cemerlang yang ditawarkan mengikuti pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti terbaik dunia.

Penetapan universiti terbaik adalah berpandukan kepada QS World University Rankings yang dikeluarkan oleh International Rangking Expert Group (IREG) dan Badan Profesional Malaysia berasaskan universiti yang mempunyai reputasi kebolehpasaran pekerjaan yang tinggi.

Program WTU ini terbuka kepada pelajar cemerlang yang telah lulus pengajian persediaan dalam International Baccalaureate (IB), A-Level, foundation, asasi, diploma dan matrikulasi.

Di samping itu juga, ia turut dibuka kepada pelajar sedia ada yang layak dan memiliki baki pengajian sekurang-kurangnya setahun.

Sesuai dengan peluang ini, Mara mengambil inisiatif dengan melanjutkan tempoh permohonan pinjaman pelajaran bagi program WTU dari 29 Jun hingga 8 Julai 2021.

Kini seramai 3,569 pelajar tajaan MARA sedang mengikuti pengajian luar negara termasuklah di beberapa universiti terbaik seperti University of Oxford, University of Cambridge, Imperial College London, University College London, The University of Manchester, United Kingdom, University of Chicago, Princeton University, Yale University, Columbia University, University of Michigan-Ann Arbor, University of California, Berkeley, Amerika Syarikat, Nanyang Technological University, Singapura, The University of Tokyo, Jepun, University of Toronto, Kanada dan lain-lain.

Program pinjaman pelajaran MARA telah diwujudkan sejak 1966 dan telah menaja seramai 543,259 orang pelajar.

Bagi tahun 2021 kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion di bawah program pinjaman ini dengan menyasarkan 60,000 pelajar menerima manfaat penajaan di bawah skim pinjaman boleh ubah di universiti dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette