Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Proses pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sangat berliku dan kebangkitan semula dijangkakan hanya kelihatan pada 2023.

Presiden Persatuan PKS, Datuk Michael Kang berkata, perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan banyak perniagaan kecil tidak boleh bertahan dengan hanya kira-kira satu pertiga perusahaan berkaitan produk dan perkhidmatan penting boleh meneruskan keberlangsungan.

“Perusahaan lain yang tidak dibenarkan beroperasi dijangka perlu menunggu sehingga 2013 untuk melihat pemulihan.

“Wabak telah mengganas selama lebih setahun dan ia adalah normal jika ada perusahaan yang tidak boleh bertahan,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan sebuah lagi persatuan iaitu Persatuan Pengusahaan-Pengusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Sementa) bahawa dua pertiga PKS berasa mereka tidak dapat mengalami pemulihan pada tahun ini.

Michael berkata, kajian oleh persatuannya mendapati kira-kira 40 peratus PKS perlu tutup atau berhenti jika PKP dilanjutkan lagi.

“Bukan sahaja perniagaan ditutup, tetapi ramai yang akan kehilangan kerja. Tanpa pendapatan, perniagaan sudah tidak mampu untuk membayar gaji,” katanya.

Menurutnya, tanpa kebenaran beroperasi, perusahaan mempunyai pilihan yang terhad iaitu berhenti membayar gaji kepada pekerja buat sementara waktu, memberhentikan pekerja yang ada atau menamatkan perniagaan.

Ditanya pelanjutan kawalan penuh oleh kerajaan, Michael berkata, kerajaan tidak berdaya melakukan apa-apa melainkan memanjangkan lagi tempoh kawalan.

“Yang boleh dilakukan pada masa ini adalah mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya. – MalaysiaGazette