Anggota Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) membuat kawalan susulan himpunan yang digelarkan “Black Democracy” di Jalan Raya Laut, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada kelibat kumpulan individu mahupun perarakan kenderaan yang dikaitkan dengan penganjuran ‘Black Democracy’ yang dikatakan akan diadakan di sekitar ibu negara hari ini.

Tinjauan Malaysia Gazette di hadapan Istana Negara dan sekitar Dataran Merdeka sejak pukul 11 pagi tadi mendapati pihak polis mengawal ketat kesemua lokasi tersebut.

Anggota polis mengawal ketat di  Pintu 2 dan Pintu 3 Istana Negara.

Manakala beberapa jalan di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut serta berhampiran Masjid Negara turut ditutup dengan kawalan anggota polis trafik.

Suasana lengang di Dataran Merdeka susulan himpunan yang digelarkan “Black Democracy” di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2021.

Sehingga pukul 2 petang, tiada kenderaan dilihat berkumpul di kesemua kawasan berkenaan mahupun sebarang tanda-tanda provokasi membabitkan orang awam.

Isnin lalu, sebuah video berdurasi dua minit 40 saat tersebar di laman sosial, yang mana mengajak orang ramai untuk berkumpul di hadapan Istana Negara, Dataran Merdeka serta Masjid Putrajaya sekitar pukul 12 tengah hari bagi mereka yang berada di kawasan Lembah Klang.

Video memaparkan seorang individu yang mengenakan topeng muka digelar ‘anonymous’ itu dipercayai bertujuan mengajak orang ramai membantah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan menerusi ‘operasi’ dikenali sebagai Black Democracy.

Selain itu, orang ramai turut diajak untuk memenuhi hadapan kawasan istana di negeri masing-masing serta di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, menurut video tersebut, orang ramai tidak berkeperluan untuk duduk berhimpun beramai-ramai tetapi hanya perlu kekal di dalam kenderaan atau di atas motosikal sambil membunyikan hon.

Antara lain, orang ramai turut diseru untuk merakam video pendek atau ‘selfie’ dengan kertas yang tertulis perkataan ‘Kerajaan Gagal’ bagi tujuan muat naik di media sosial.

Video alih suara yang tertera tulisan berwarna merah itu turut mengingatkan orang ramai yang ingin menyertai himpunan ‘Black Democracy’ itu supaya tidak melakukan provokasi terhadap anggota polis.

Suasana lengang di Jalan Raya Laut susulan himpunan yang digelarkan “Black Democracy” di Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2021.

Pihak polis sebelum ini menegaskan mana-mana pihak yang dikesan melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara sama ada menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim menerusi kenyataan pada Isnin berkata, orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan apa jua bahan yang boleh mengajak orang ramai melanggar SOP atau mengakibatkan penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette