Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penerima vaksin semasa mengadakan lawatan bagi memantau pelaksanaan proses vaksinasidi Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2021.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penerima vaksin semasa mengadakan lawatan bagi memantau pelaksanaan proses vaksinasidi Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan kepada polis untuk menyiasat video yang memaparkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dijamu durian.

Menurut beliau, hanya polis yang boleh membuat siasatan terhadap video yang tular pada Selasa lalu.

“Kalau ada isu yang berbeza seperti ini, jadi kita serah kepada polis sebab ada kenyataan yang berbeza. Tentunya polis yang boleh tentukan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ismail Sabri berkata, sesiapa sahaja tidak terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

“Jadi setiap isu yang berkaitan dengan sesiapa sahaja, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang kerana tidak ada orang yang mempunyai kekebalan di negara ini tetapi untuk tindakan adalah daripada polis yang perlu siasat, jadi kita tunggu laporan polis,” katanya lagi.

Semalam, Mohd Rashid memohon maaf atas kekhilafan beliau berkaitan penjelasan berkenaan video tular dijamu durian baru-baru ini.

Sebelum ini Ahli Parlimen Batu Pahat itu mendakwa video yang tular berkaitan isu itu dirakam pada tahun lalu dan sedia untuk disiasat.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, beliau berkata, video berkenaan adalah hasil daripada lawatan kerja Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin ke Batu Pahat.

Terdahulu tular video berdurasi 13 saat yang menunjukkan Mohd Rashid menikmati durian bersama sekumpulan penduduk kampung, dipercayai berlaku di kawasan Parlimen beliau.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah dalam satu kenyataan berkata, satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat kejadian dalam video berkenaan.

“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – MalaysiaGazette