LONDON – Pemain sayap England, Jadon Sancho yang beraksi dengan Borussia Dortmund akhirnya menjadi milik Manchester United selepas kelab itu bersetuju untuk menandatangani dengan perjanjian bernilai 72.9 juta pound (RM418.59 juta).
Wartawan perpindahan bola sepak, Fabrizio Romano melaporkan bahawa United dan Dortmund akhirnya setuju dengan perpindahan itu apabila Sancho akan menandatangani kontrak lima tahun sehingga 2026.
Pemeriksaan perubatan untuk pemain tersebut masih belum dilakukan memandangkan dia masih berada di kem England untuk Euro 2020.
Sancho dilaporkan sudah diberi lampu hijau untuk membincangkan terma individu bersama United dan dijangka ditawarkan gaji €350,000 seminggu di United.
United sepatutnya membawa Sancho ke Old Trafford sejak tahun lalu lagi namun gagal memenuhi permintaan harga 100 juta pound (RM574.19 juta) yang diminta Dormund tahun lalu.
Kelab liga Perdana Inggeris itu sering melakukan penawaran sejak penghujung musim dalam usaha mereka mendapatkan perpindahan pemain berkenaan.
Tawaran awal 67 juta pound (RM384.71 juta) yang dilakukan United ditolak, tetapi mereka meningkatkan penawaran secara berterusan bagi meyakinkan Dortmund, walaupun pada harga yang jauh lebih rendah daripada yang mereka mahukan 12 bulan lalu susulan masalah kewangan akibat covid-19. – MalaysiaGazette