Tukang Pembersih Sekolah, Jaafar Zainudin, 59 bergambar selepas ditemuramah oleh wartawan Malaysia Gazzete di sebuah sekolah di Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa kira-kira 50,000 pekerja pembersihan sekolah di seluruh negara berdepan kehilangan pendapatan apabila gaji mereka bakal dipotong sehingga 40 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Petugas sektor perkhidmatan perlu itu mendakwa mereka menjadi mangsa keadaan, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berbeza dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berdasarkan SOP MKN, sektor pembersihan dibenarkan beroperasi sepenuhnya dengan syarat ketat, sedangkan KPM pula menetapkan hanya 60 peratus sahaja boleh bekerja pada hari bekerja.

SOP yang berbeza-beza ini menyebabkan pekerja pembersihan itu terpaksa bertugas secara bergilir dan bayaran dibuat berdasarkan jumlah waktu bekerja.

Tinjauan MalaysiaGazette di sebuah sekolah kebangsaan di sekitar Selangor hari ini mendapati, pekerja pembersihan terpaksa bertugas dalam jumlah kecil sedangkan keluasan sekolah mencecah sehingga 20 ekar.

Tukang Pembersih Sekolah, Nor Lizah Othman, 52, tidak dapat menahan sebak ketika ditemuramah oleh wartawan Malaysia Gazzete di sebuah sekolah di Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021.

Menurut salah seorang pekerja pembersihan, Nor Lizah Othman, 52, dia menyifatkan tindakan KPM menghadkan jumlah pekerja hingga menjejaskan gaji mereka sebagai tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.

“Kami ini B40 (pendapatan rendah), sudah gaji kami kecil, lepas itu kena potong pula, banyak bukan sikit.

“Kalau 40 peratus, gaji kami RM1,200 lepas tolak tinggal RM720, itu belum tolak KWSP dan Perkeso.

“Kalau kena potong KWSP dan Perkeso, tinggal RM500 lebih saja, apa kami nak makan, nak bayar api (elektrik), air, sewa rumah, boleh gila ni,” katanya kepada MalaysiaGazette di sebuah sekolah di Selangor, hari ini.

Nor Lizah menggesa KPM dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandang serius perkara ini apatah lagi menjejaskan periuk nasi golongan B40.

“Golongan M40 pun sakit apatah lagi kami golongan B40, tolong cakna, prihatin sikit nasib kami ini.

“Gaji kami sikit, dengan keadaan sekolah, murid-murid ada 1,000 orang, kami bekerja hanya empat orang untuk menguruskan sekolah.

“Bayangkan lah tenaga empat orang nak bersihkan sekolah dengan 1,000 murid. Tak larat, kami ini bukan muda lagi, kami ini dah tua-tua,” katanya.

Dia yang berkhidmat sejak 11 tahun lalu menggesa KPM dapat membenarkan sektor pembersihan beroperasi sepenuhnya seperti mana yang ditetapkan MKN.

“Kami mohon kerajaan dan Kementerian Pendidikan tolong jangan potong gaji kami, kami tak larat lagi, tak ada upaya lagi.

“Apa yang tinggal RM500, apa yang tinggal pada kami, tolong lah.

“Walaupun gaji kami sebelum pemotongan pun cukup bulan habis gaji, nak simpan pun tak dapat,” katanya.

Tukang Pembersih Sekolah, Rosmala Zainudin, 58, bercakap ketika ditemuramah oleh wartawan Malaysia Gazzete di sebuah sekolah di Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021.

Bagi seorang lagi pekerja pembersihan sekolah, Rosmala Zainudin, 58, tindakan KPM itu boleh menjejaskan periuk nasi golongan B40 yang bergantung kepada pekerjaan itu ketika ini.

“Tak boleh lah buat macam tu, sebab kita pun gaji terlalu rendah, kalau kena potong, apa yang tinggal, apa kita nak makan.

“Itu sahaja pendapatan kita, suami pun kerja bukan senang, kalau boleh jangan buat macam itu

“Tolong lah bagi gaji kita penuh, kita pun kerja kais pagi makan pagi kais petang makan petang,” katanya.

Jelasnya, golongan warga emas seperti mereka kini sukar mencari pekerjaan lain ketika ramai kehilangan pekerjaan kesan daripada pandemik Covid-19.

“Kami ini orang susah, nak bayar rumah sewa lagi, nak makan lagi, kos api air lagi, kami rasa tertindas macam ini.

“Kalau gaji kena potong, apa lagi kita nak beli, apa kita nak makan, kalau suami kita kaya tak apa, suami kita pun sama macam kita ini,” katanya.

Walaupun dia tidak perlu mencatu makan ketika ini, namun pendapatan sebagai pekerja pembersihan sudah cukup rendah, malah membebankan jika gaji mereka dipotong kelak.

“Nak kata catu (makanan) tak ada lah, boleh makan apa yang ada, tapi tak adalah mewah-mewah, tak ada makan sedap.

“Lagi pun kita susah nak keluar sekarang nak pergi beli barang, nak pergi mana-mana pun dah susah, apa yang ada kita masak,” katanya.

Tukang Pembersih Sekolah, Jaafar Zainudin, 59 bercakap ketika ditemuramah oleh wartawan Malaysia Gazzete di sebuah sekolah di Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021.

Sementara itu, seorang lagi pekerja pembersihan, Jaafar Zainudin, 59, dia mengakui pemotongan itu memberi kesan ekonomi keluarganya.

“Lebih-lebih lagi zaman sekarang barang mahal, rumah sewa, kalau baki tinggal RM500, api air lagi, kita nak makan apa.

“Saya harap pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan prihatin dengan keadaan kami B40.

“Kalau ikut keadaan sekarang, kami bukan lagi B40, tak tahu B apa tah,” katanya.

Jaafar juga berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lepas tangan dan membiarkan KPM terus menindas golongan B40 seperti mereka ini.

“Terus terang saya cakap, sedangkan perkilangan dibuka, kami ini pekerja sekolah hanya empat orang sahaja bekerja.

“Memang kami buat penjarakan, sebab kami pun tak bekerja satu bangunan, seorang uruskan satu bangunan.

“Perdana Menteri Malaysia jangan lepas tangan, kami ini luar dari kategori B40 (bawah), sedangkan kami rakyat Malaysia, warga asing pula hidup mewah di sini,” katanya.

Tukang Pembersih Sekolah, Muttamah Govindasamy, 59 bergambar selepas ditemuramah oleh wartawan Malaysia Gazzete di sebuah sekolah di Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021.

Sementara itu, bagi Muttamah Govindasamy, 59, dia satu-satu yang bekerja dan perlu menanggung keluarga susulan suaminya kehilangan pekerjaan sejak PKP tahun lalu.

Menurutnya, jika pemotongan gaji itu berlaku, dia tiada pendapatan lain untuk menampung perbelanjaan anak-anak dan suaminya.

“Mana boleh terima bila gaji kena potong, anak saya masih belajar, anak yang ada kedai gunting rambut pun dah kena tutup.

“Suami pula diberhentikan kerja sebab umur dah 60 tahun, saya seorang saja kerja.

“Mana boleh potong gaji, nak bayar api, air, barang dapur lagi mahu beli, anak belajar sekarang baru guna duit nak bayar internet,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast