Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan barang rampasan dalam satu kes samun rumah warga asing ketika di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Polis menahan lima lelaki termasuk bekas banduan yang disyaki terlibat dalam kes samun warga asing menerusi serbuan di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kelima-lima lelaki ditahan itu berusia lingkungan 21 hingga 48 tahun dan merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan samun.

“Pada 27 Mei lalu, kita terima satu laporan polis daripada seorang pengawal keselamatan warga asing yang disamun sekumpulan tujuh lelaki bermotosikal dengan bersenjatakan pisau setibanya di rumah di kawasan Seksyen 19.

“Salah seorang suspek juga telah mengambil kayu cota milik pengadu serta mengugut untuk mencederakan badan pengadu serta rakan-rakannya yang berada di dalam rumah.

“Suspek kemudiannya bertindak mengambil pelbagai jenis telefon bimbit milik pengadu serta rakan serumah dengan anggaran kerugian sekitar RM2,500,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya masih menjejaki saki-baki kumpulan lelaki yang dipercayai terlibat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan barang rampasan dalam satu kes samun rumah warga asing ketika di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2021.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhruddin berkata, ketika serbuan, polis berjaya merampas 12 buah telefon bimbit pelbagai jenama, enam utas jam tangan, 42 keping mata wang asing, dua buah motosikal jenis Yamaha LC135 dan Honda EX5 serta tiga bilah pisau.

Jelas beliau, berdasarkan pengakuan kesemua suspek, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam lima kes samun dan curi motosikal di sekitar daerah ini serta satu kes di Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan motosikal yang dirampas dalam satu kes samun rumah warga asing ketika di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2021.

“Siasatan lanjut terhadap kesemua suspek masih diteruskan untuk menyiasat penglibatan mereka dalam lain-lain kes. Kita juga percaya kumpulan ini menyasarkan kawasan-kawasan asrama warga asing untuk jalankan kegiatan samun,” ujarnya.

Tambah Mohamad Fakhruddin, hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai 18 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, suspek kedua (14 rekod), suspek ketiga (tiada rekod), suspek keempat (satu rekod) manakala suspek kelima memiliki 48 rekod pelbagai jenis jenayah serta tiga rekod tindakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Katanya, kesemua suspek direman bermula hari ini sehingga 7 Julai bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata. – MalaysiaGazette