KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan penghalang buat Nurfatimah Embong untuk mencari rezeki.
Nurfatimah atau lebih senang disapa dengan panggilan Kak Nur mengakui kesukaran hidup tidak pernah menghalang beliau menjadi kreatif dalam membantu suaminya menyara kehidupan.
Kata wanita berusia 40 itu, beliau pernah menceburi bidang perhotelan dan makanan dan minuman (F&B) lebih 16 tahun sebelum berhenti kerja dan mula menjalankan perniagaan sendiri.
“Pada awalnya saya jual baju serta tudung rekaan saya sendiri, koleksi atas nama Airis SP. Memang minat rekaan serta tudung, jadi duduk rumah saya buat butik sendiri.
“Pada masa sama minat memasak saya pula jadi bisnes, kuih muih seperti ubi kayu, pengat durian, badak berendam yang menjadi kesukaan suami, anak-anak dan ibu akhirnya mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan kawan-kawan.
“Dari situ saya dapat mula dapat tmpahan dari jiran-jiran, kawan-kawan lain. Kemudian saya terus tidak menang tangan, juga dalam kalangan kenalan hotel sebelum ini. Semua itu rezeki. Kadang-kadang itu seperti tidak cukup tangan pula, ada satu masa itu sambal petai saya juga jadi ‘gilaan’. Semua itu pada saya adalah rezeki,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kata Nurfatimah, dari situ beliau mula mencuba perniagaan durian apabila mendapat dorongan daripada kenalannya.
Beliau yang merupakan ‘‘hantu durian’ kemudian mendapat idea untuk menghasilkan makanan-makanan berasaskan daripada buah itu seperti pengat durian dan pulut durian.
“Selain itu saya pula didekati oleh seorang kenalan yang mahu saya tolong jual durian beliau, dari minat sekarang jadi bisnes pula.
“Pada mulanya kawan saya tanya jika saya boleh kopek durian kerana pada hematnya perempuan susah hendak kopek durian.
Nurfatimah berkata, mungkin ada benarnya kerana rata-rata peniaga durian adalah lelaki namun mengupas durian bukannya asing kepadanya kerana beliau akan megupas sendiri buah yang dibelinya sebelum ini.
“Dari situlah saya mula kopek dan jual durian, hasilnya juga Alhamdulillah sebenarnya. Ramai yang datang beli, ada musang king, udang merah, durian kahwin, D24, durian kampung.
“Saya boleh kopek sehingga 400 biji sehari, pada awalnya memang susah sangat sehingga berdarah-darah tangan tapi pada saya cabaran itu saya anggap sebagai motivasi diri sebenarnya,” uajrnya sambil menambah beliau banyak belajar tentang buah itu.
Kata Nurfatimah, bermula dengan perniagaan dari rumah ke rumah, cash on delivery, perniagaan atas talian kini beliau mempunyai gerai untuk menjual buah itu.
Gerai menjual durian milik wanita itu yang turut menawarkan kuih muih lain seperti badak berendam dan pulut durian terletak di sebelahan Season Square, Damansara Damai. -MalaysiaGazette