PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 15 Apartmen Pandan Ria, Ampang hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kira-kira pukul 8.25 pagi, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki telah terjun dari apartmen tersebut.

“Berdasarkan siasatan lanjut di lokasi kejadian, lelaki warga tempatan berusia 54 tahun itu dipercayai terjun dari tingkat 15 iaitu tingkat paling atas bangunan.

“Mangsa tinggal di tingkat lima blok berkenaan dan menetap di situ sejak 30 tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mohamad Farouk, berdasarkan kenyataan anak tunggal mangsa yang berusia 15 tahun, ibunya telah meninggal dunia pada awal Jun lalu dipercayai akibat dijangkiti Covid-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati mangsa positif Covid-19.

Tambahnya lagi, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan punca kematian masih dalam siasatan polis.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian ini,” ujarnya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette