Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja-kerja pemasangan kawat berduri bagi mengawal laluan keluar masuk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa 1 Julai hingga 14 Julai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di 34 mukim di Selangor, berkuatkuasa Sabtu ini.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan PKPD itu melibatkan lapan daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

“Melalui perbincangan pelbagai agensi serta berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di WP Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai 2021 sehingga 16 Julai 2021,” demikan menurut Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini.

34 mukim itu adalah Petaling, Damansara, Sungai Buloh, Bukit Raja di Daerah Petaling; Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang bagi daerah Hulu Langat; Dengkil, Labu, dan Sepang bagi daerah Sepang.

Empat lagi daerah adalah Gombak dengan Batu, Rawang, Setapak, Hulu Klang dan Mukim Kuang; daerah Kuala Langat meliputi mukim Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra dan mukim Batu; daerah Klang pula meliputi Kapar dan Klang; daerah Kuala Selangor merangkumi tiga mukim iaitu Ijok, Bestari Jaya, dan Jeram dan terakhir adalah daerah Hulu Selangor dengan mukim Serendah, Rasa, Ulu Yam dan Batang Kali.

Sementara itu, 14 kawasan di ibu kota turut dikenakan perintah PKPD iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2), Flat Sri Sabah, Kampung Puah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan (Termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas.

Menurut Ismail, dengan pelaksanaan PKPD itu semua laluan kawasan itu akan ditutup dan kawal selia oleh polis.

Tambah Menteri Pertahanan itu, semua penduduk di kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing.

Hanya seorang isi rumah sahaja yang dibenarkan untuk keluar memberli keperluan asas dalam lingkungan 10 kilometer.

“Tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas jam 8.00 malam kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran PDRM.

“Hanya sektor perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan untuk beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette