PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengalu-alukan kempen kibar bendera putih yang sedang hangat di media sosial ketika ini bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, inisiatif tersebut secara tidak langsung dapat menanam semangat keprihatinan dalam komuniti untuk menolong golongan yang benar-benar memerlukan.
“Macam saya katakan tadi ketika ini semua orang sedang berperang dengan wabak yang kita sendiri tidak nampak jadi kita kena sama-sama bersatu antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta serta masyarakat, jadi kita bantu kita.
“Setakat ini kementerian telah mengagihkan 1.5 juta bakul makanan yang boleh memberi manfaat kepada lebih 6 juta orang sedangkan rakyat Malaysia secara keseluruhan kira-kira 32 juta orang.
“Jadi mungkin ada yang tercicir atau terlepas pandang, mungkin sewaktu kita beri (bantuan) itu dia bekerja, bila kita semak ada pendapatan dan masih lagi bekerja, mungkin kita tidak tahu dalam seminggu dua lepas itu dia diberhentikan kerja atau suami meninggal kerana Covid-19.
“Justeru apabila ada pihak yang mengesyorkan sedemikian (bendera putih) ia dapat menanam semangat untuk membantu antara satu sama lain,” katanya dalam sidang media Pakej Ransangan Pemulih di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rina turut menyifatkan kempen kibar bendera putih sebagai satu inisiatif yang hampir serupa dengan program gerobok rezeki sebelum ini.
Katanya, sebelum kempen bendera putih mula mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat, gerobok rezeki merupakan salah satu cara komuniti membantu mereka yang memerlukan.
“Begitu juga sebelum ini kita ada gerobok rezeki, satu inisiatif yang dijalankan oleh persatuan penduduk atau jawatankuasa masjid kepada sesiapa yang memerlukan bantuan jadi mereka boleh datang ambil apa yang diperlukan ketika waktu-waktu kecemasan.
“Jadi kita mahu rakyat saling bersama-sama membantu agar kita semua dapat keluar dari cengkaman pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rina turut mengulas mengenai dakwaan di media sosial tentang kewujudan individu-individu yang tidak jujur dan mengambil kesempatan ke atas bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, NGO atau persendirian.
“Kita cuba sedaya upaya untuk membantu mereka yang memerlukan tetapi ada juga yang cuba ambil kesempatan di mana ia akan menjejaskan peluang yang lain. Sepatutnya kita ambil apa yang kita perlu dan apa yang kita layak.
“Tidak perlu ambil yang bukan hak kita, kita berikan kepada mereka yang benar-benar layak,” ujarnya.
Sebelum ini tular di laman Facebook menunjukkan gambar longgokan bantuan seperti beras, minyak serta barangan keperluan lain dipercayai di sebuah rumah yang dikaitakan dengan individu tidak jujur ketika memohon bantuan. – MalaysiaGazette