Kira-kira 1,200 penduduk di Taman Flora, Alor Star terpaksa bergelap akibat sindiket Bitcoin.

ALOR SETAR –  Kira-kira 1,200 penduduk di Taman Flora, Kuala Sungai di sini terpaksa ‘bergelap’ hampir tiga jam susulan bekalan elektrik kawasan perumahan itu terputus akibat kegiatan sindiket melombong matawang kripto Bitcoin.

Kegiatan haram yang dilakukan empat lelaki di sebuah kediaman teres dua tingkat itu terbongkar selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapat panggilan berhubung kira-kira 400 kediaman di kawasan tersebut terputus bekalan elektrik pada jam 9 malam.

MalaysiaGazette difahamkan pihak TNB yang tiba di lokasi mendapati bekalan elektrik terputus berpunca dari sebuah kediaman kosong sebelum meminta bantuan polis untuk memecah masuk.

Suis utama elektrik dalam kediaman teres dua tingkat itu diubah suai untuk kegiatan melombong Bitcoin.

Bagaimanapun, serbuan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang diketuai Inspektor Mohd Faizul Izuan Harun dan Inspektor Ashaari Yaakob mendapati rumah tersebut sebenarnya didiami sindiket yang melakukan kegiatan melombong Bitcoin.

Semakan lanjut TNB mendapati, sindiket berkenaan mengubah suai suis utama elektrik dalam kediaman tersebut untuk melakukan kegiatan haram itu hingga menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Sumber MalaysiaGazette berkata, ketika serbuan empat lelaki warga tempatan itu bersembunyi dalam persekitaran yang gelap.

Empat lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan melombong Bircoin diberkas dalam serbuan.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan satu set komputer, 60 mesin melombong Bitcoin bernilai RM60,000.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 40-an dan mereka dipercayai aktif melakukan kegiatan melombong Bitcoin sejak seminggu lalu.

“Semakan juga mendapati kesemua mereka mendapat upah RM1,500 hingga RM2,000 setiap seorang sebulan dan merupakan ahli sindiket,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sebahagian mesin melombong Bitcoin yang dirampas polis dalam serbuan tersebut.

Tambah beliau, TNB mengalami kerugian RM24,000 akibat kegiatan sindiket yang mencuri elektrik untuk melombong Bitcoin.

“Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian serta tangkapan tersebut  – MalaysiaGazette