Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengingatkan tanpa golongan M40, ekonomi negara tidak akan memulih dengan cepat.

Sama seperti golongan B40 yang terputus pendapatan, golongan M40 perlu juga dibantu.

Menurut beliau, golongan M40 juga terjejas akibat pukulan pandemik Covid-19.

Komitmen bulanan yang dihadapi oleh golongan ini adalah lebih tinggi berbandingan golongan B40.

Bagi golongan M40 yang menjadi peniaga, mereka ada komitmen gaji pekerja perlu bayar, sewa, bil elektrik dan air lebih tinggi perlu bayar, juga caruman insurans setiap bulan.

Semua komitmen tetap jalan walaupun pendapatan turun ke sifar semasa negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

”Jadi, berapa lama wang simpanan golongan ini mampu bertahan jika perlu menghadapi 2 bulan atau 3 bulan tanpa satu sen income?

”Akibat komitmen lebih besar ini, peluang mereka terus jatuh ke bawah golongan B40 untuk muflis sebenarnya lebih besar sekiranya pendapatan mereka terhenti untuk berbulan-bulan – terutamanya golongan M40 yang merupakan peniaga,” katanya.

Tambahnya, kehidupan golongan M40 bukan mudah walaupun mereka pandu kereta mewah atau duduk rumah lebih besar.

Sehingga bulan lepas, kerajaan mengumumkan lebih 600,000 keluarga M40 telah tergelincir ke B40 sejak pandemik bermula.

Oleh sebab itu, Najib berkata, UMNO berulang kali menyatakan golongan M40 perlu diberi moratorium pinjaman secara automatik tanpa faedah, sekurang-kurangnya ansuran kereta dan rumah boleh ditangguh untuk seketika.

Bekas perdana menteri itu berharap bank-bank tidak akan kedekut dan memberi sedikit ruang nafas pada golongan B40 dan M40 dengan permudahkan permohonan masing-masing jika mereka perlu meminta pinjaman kecemasan.

Selain itu, katanya, syarikat insurans juga patut membantu dengan membenarkan tempoh tangguhan tanpa penalti bagi mereka yang kurang mampu membayar sumbangan insurans pada ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast