Rak tersusun dengan barang keperluan di Food Bank di Kuantan Pickers

KUANTAN – Usaha sekumpulan anak muda tempatan membantu mereka yang terkesan pada musim pandemik Covid-19 terus mendapat sokongan masyarakat setempat.

Tinjauan MalaysiaGazette di Kuantan mendapati beberapa lokasi food bank mula mendapat tumpuan warga ibu negeri ini untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Separuh kedai kopi Nazrul dipenuhi barang sumbangan daripada penerima

Bagi pengusaha Kuantan Pickers, Nazrul Nazuki memulakan bank makanan sejak tiga bulan dilakukan dengan kerjasama rakan seperjuangan dan kenalan platform media sosial.

“Alhamdulillah, sehingga kini sumbangan barang keperluan tidak putus kepada yang memerlukan, dan hampir 30 penerima datang mengambil barang sumbangan setiap hari bermula jam 8 pagi.

“Setakat ini kami dapat menyusun dan mengagihkan barang bantuan, sukarelawan dialu-alukan dan pertubuhan kebajikan lain bagi membantu penghanratan dan sumbangan penyaluran maklumat.

“Apa sahaja nama jolokan yang diberi seperti bendera putih, gerobok dapur, bank makanan yang seangkatan dengannya, asalkan fungsinya memberi manfaat kepada golongan yang terkesan dan terputus bekalan makanan.

Kakitangan Kuantan Pickers menambah barang keperluan sumbangan

Jelas Nazrul, pihaknya mengumpul data maklumat penerima seperti nama, alamat, bilangan isi rumah dan keperluan pemohon menerusi perkhidmatan pesanan ringkas.

Sementara itu, seorang lelaki datang dengan harapan membawa bag kain bewarna merah jambu yang kosong, namun pulang dengan sedikit bekalan dapur untuk isteri dan dua orang anak masih bersekolah.

Abdul Aziz Abdul Kadir sudah dua kali menerima sumbangan

Abdul Aziz Abdul Kadir menerima sumbangan barang dapur hasil sumbangan orang ramai pada kali pertama pada Jun lalu bagi meringankan beban yang ditanggungnya kerana tidak dapat bekerja pada musim pandemik ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

Semua ahli parlimen dapat peruntukan Bantuan Bakul Makanan

TERKINI : ‘Food Bank’ Perlu Dikukuhkan Dalam Malaysia – Idris Ahmad

“Serba salah nak meminta, tapi nak meminjam lagi tu yang leceh, rasa gembira kalau ada sumbangan macam ini, senang untuk orang yang terkesan lain juga pada masa datang,

“Ini kali kedua dapat bantuan, pertama kali bulan Jun lalu. Tapi bekalan dah terputus maka mohon lagi bantuan barang dapur untuk anak-anak makan kerana tidak boleh bekerja pada masa ini”. – MalaysiaGazette.