M. Saravanan Indonesian domestic helpers foreign Malaysia maid workers
Datuk Seri M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Para pekerja yang masih diarah oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diminta membuat aduan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, aduan boleh dibuat menerusi aplikasi Working for Workers (WFW).

Menurutnya, selain kategori aduan BDR (bekerja dari rumah), aplikasi tersebut juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu perburuhan.

“KSM sentiasa memberi perhatian terhadap aduan-aduan yang diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil oleh kementerian.

“Ini kerana, Kementerian menerima banyak aduan daripada para pekerja bahawa mereka telah diugut oleh majikan untuk hadir bekerja seperti biasa dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saravanan menegaskan, bagi tempoh antara 23 Mei dan 1 Julai, KSM melalui aplikasi berkenaan telah menerima sebanyak 1,878 aduan berhubung majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

Jelasnya, negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan BDR adalah Selangor (696 aduan), diikuti Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan).

“Dari 1 Jun hingga 1 Julai 2021, sejumlah 59 kompaun yang berkaitan dengan ketidakpatuhan kepada kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat/ tempat kerja telah dikeluarkan oleh agensi-agensi penguatkuasaan di bawah KSM seperti
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Dengan pelaksanaan PKPD di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang akan bermula pada 3 Julai, KSM juga akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan melalui akta-akta di bawah Kementerian dan menyeru agar para majikan mematuhi SOP Prosedur Operasi Standard) PKPD yang ditetapkan sebagai langkah bersama bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saravanan turut mengingatkan para majikan untuk mematuhi PKPD yang akan dilaksanakan di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula esok hingga 16 Julai.

Para majikan juga katanya, digesa untuk mematuhi SOP yang ditetapkan, khususnya dari segi penetapan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, pekerja selain daripada perkhidmatan perlu (essential services) tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja di pejabat atau tempat kerja sepanjang tempoh PKPD.

Justeru, majikan adalah dikehendaki untuk mematuhi perintah tersebut dengan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast