Nor Zamani Abdol Hamid

KUALA LUMPUR – Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid diumumkan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang baharu berkuatkuasa pada 22 Jun lalu.

Nor Zamani, 59 tahun, merupakan KPPM yang ke-18 dan merupakan wanita ketiga dilantik sebagai KPPM.

Beliau telah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada tahun 1986 sebagai Ketua Jabatan A-Level di Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan, kata Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kenyataan di sini.

Dalam tempoh 35 tahun perkhidmatan, beliau juga telah berkhidmat di pelbagai organisasi dalam KPM.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta.

Nor Zamani berkelulusan ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sosiologi dan Antropologi dan Ijazah Sarjana Pendidikan daripada Universiti Malaya.

”KPM yakin Nor Zamani dapat menggalas tanggungjawab sebagai peneraju perkhidmatan pendidikan dan seterusnya meningkatkan lagi prestasi KPM dalam mencapai aspirasi pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette