Premis pemprosesan dan pengedaran ayam segar dan pusat perusahaan kolam ikan air tawar dikesan melakukan sambungan bekalan air terawat secara tidak sah di sini semalam.

KUALA LUMPUR – Premis pemprosesan dan pengedaran ayam segar dan pusat perusahaan kolam ikan air tawar dikesan melakukan sambungan bekalan air terawat secara tidak sah di sini semalam.

Kedua-dua premis berkenaan dikesan dalam satu operasi Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) dalam satu operasi  bersepadu.

“Sambungan bekalan air tidak sah tersebut disyaki menyalurkan bekalan air ke dalam premis berkenaan untuk kegunaan aktiviti harian di premis-premis terbabit.

“Hasil ujian klorin yang dibuat di lokasi kejadian juga mengesahkan bekalan air yang diterima merupakan air terawat yang datangnya dari sumber bekalan air milik Air Selangor,” kata satu kenyataan SPAN hari ini.

Kes disiasat di bawah peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dimana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Notis pemberitahuan kesalahan telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang terlibat.

Pada masa sama, pihak operator akan mengeluarkan tuntutan kepada pemilik premis bagi jumlah kerugian yang dialami.

“Orang ramai dipohon untuk memaklumkan kepada operator air anda sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan yang anda syaki berkaitan aktiviti mencuri bekalan air bersih termasuk membuat penyambungan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sebarang aduan atau maklumat berkenaan pencemaran air mentah mahupun perbuatan mencemar saluran pembetungan boleh disalurkan talian 011-33336595 atau emel ke [email protected] MalaysiaGazette