Gambar hiasan

PANDEMIK Covid-19 mencetuskan pelbagai isu dan ketegangan dalam masyarakat. Salah satu polemik yang timbul baru-baru ini adalah isu doktor kontrak. Isu ini terjadi rentetan daripada masalah lambakan doktor pelatih ( houseman) berikutan bertambahnya sekolah perubatan swasta tanpa kawalan dan perancangan. Walaupun tujuan asalnya adalah untuk memperbaiki sistem kesihatan dengan meningkatkan nisbah doktor dan pesakit ( 1 nisbah 400 ), namun tanpa perancangan yang baik, inilah akibatnya.

Biarpun doktor pelatih bertambah ,latihan wajib tergendala dan mereka  perlu menunggu lama untuk dapat memulakan khidmat di fasiliti kesihatan. Pada tahun 2018 sahaja, jumlah graduan perubatan adalah lebih kurang 30 ribu sedangkan keperluan hanyalah
sebanyak 12,000. Lebih menyedihkan lagi apabila ekonomi negara tidak menentu, Dasar Kawalan Saiz Penjawat Awam pada 2019 telah menggariskan supaya perjawatan tidak dapat ditambah, menyebabkan doktor pelatih tidak dapat diserap ke jawatan tetap, dan hanya menerima jawatan pegawai perubatan kontrak.

Sejak tahun 2016 lagi, semua graduan perubatan hanya ditawarkan sebagai pegawai perubatan siswazah secara kontrak. Apabila lambakan berlaku,sejak 2019 hanya 5% daripada mereka ini boleh ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan. Bermakna 95% daripada mereka hanyalah berstatus kontrak, di mana mereka mempunyai tanggungjawab yang sama dengan pegawai perubatan berstatus tetap, tetapi bayaran gaji lebih rendah dan tiada hak istimewa penjawat awam seperti cuti menyusu, cuti sakit, tiada jaminan pekerjaan jangka panjang dan peluang melanjutkan
pelajaran terlalu sukar.

Beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini. Ini termasuklah memanjangkan tempoh latihan pegawai latihan siswazah, tiada penambahan kursus perubatan, tiada penambahan bilangan pengambilan pelajar perubatan dan menutup fakulti kecil atau penggabungan. Beberapa buah hospital juga ditambah dan hospital daerah dinaik taraf supaya hospital latihan siswazah semakin meningkat.

Namun isu lambakan doktor masih tidak selesai dan akhirnya membawa kepada isu doktor kontrak. Batch pertama hanya ada 5-6 bulan sahaja lagi untuk ditamatkan kontrak dimana daripada 3000 orang hanya 789 yang mendapat jawatan tetap. Peningkatan pesakit-pesakit covid di hospital-hospital dan di pusat-pusat kuarantin, kebanyakkannya menggunakan tenaga doktor kontrak yang diketahui lebih junior dan kurang pengalaman di dalam jabatan sendiri.

Memang sifat seorang doktor akan bekerja dan mengutamakan pesakit terlebih
dahulu. Namun kebimbangan tetap singgah di hati kerana bila-bila masa sahaja selepas berakhirnya pandemik ini, sebilangan daripada mereka yang sudah tamat tempoh kontrak berkemungkinan akan kehilangan pekerjaan. Akibatnya ada di antara mereka yang merancang untuk mengadakan hartal atau mogok.

Sebagai doktor yang lebih senior yang tidak menghadapi permasalah seperti ini, kami rasa sangat tersentuh terhadap dilema MO kontrak ini. Perkara ini patut ditangani sebaiknya untuk kebaikan bersama. Doktor-doktor muda ini adalah pewaris sistem kesihatan di masa hadapan. Walaupun ada di antara mereka yang bermasalah dan tidak dapat ‘perform’ dengan baik semasa dalam latihan, tetapi itu hanya sebahagian kecil. Masih ramai diantara mereka adalah insan-insan bijak dan terpilih untuk belajar ilmu kedoktoran, belajar selama 5 atau 6 tahun supaya akhirnya dapat berkhidmat untuk rakyat.

Ilmu yang didapati semasa belajar, ditambah pengalaman semasa menjadi doktor pelatih dan pegawai perubatan tidak dapat digunakan. Peluang menyambung pelajaran yang sangat terhad, yang hanya boleh dilakukan dengan memasuki kementerian lain seperti kementerian pengajian tinggi dan kementerian pertahanan di mana pengambilannya sangatlah sedikit berbanding jumlah doktor yang ada. Ataupun mereka perlu mengambil peperiksaan luar negara dengan duit poket sendiri kerana sebagai pegawai perubatan
kontrak, mereka tidak layak untuk mendapat hadiah latihan persekutuan seperti yang kami dapat semasa menyambung kepakaran sebelum ini.

Mengadakan hartal bukanlah langkah terbaik kerana doktor-doktor junior ini boleh dikenakan tindakan tatatertib dan hilang terus peluang mereka. Langkah drastik perlu diambil untuk menangani masalah ini sebelum keadaan menjadi lebih parah. Apa yang mereka harapkan hanyalah hak sama rata dengan doktor berjawatan tetap kerana beban kerja dan tanggungan kedua-dua golongan ini adalah sama.

Antara langkah yang boleh dilakukan adalah mengurangkan pengambilan pelajar perubatan terutama ke universiti swasta dan luar negara. Pengeluaran graduan perubatan adalah hanya untuk menampung kekurangan doktor di fasiliti kesihatan yang sedia ada. Hakikatnya kita masih kekurangan doktor terutama di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak.

Ibu bapa dan pelajar lepasan SPM juga patut didedahkan dengan keadaan sebenar lambakan doktor dan isu doktor kontrak supaya mereka boleh memilih bidang lain yang juga diperlukan dan penting untuk negara. Latihan kepada doktor siswazah juga perlu dikemaskini supaya dapat melahirkan doktor yang lebih berkualiti. Moga isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan memberi kebaikan kepada semua pihak termasuk doktor-doktor junior,sistem kesihatan, ibu bapa dan pesakit-pesakit yang memerlukan khidmat mereka.

Keaadaan memang sangat sukar untuk semua orang di musim pandemik ini. Teruskan bekerja untuk membuat kebaikan dan menolong orang. Semua orang ada masa senang dan sukar dan inilah lumrah hidup. Moga isu ini dapat diselesaikan dengan baik terutama apabila banyak pertubuhan bukan kerajaan yang cakna dengan isu ini.
Firman Allah dalam suraha Al-Anfal : 40 “ Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawasanya Allah pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Dr Afizah Salleh
Pakar Perunding Pembedahan Am,
Hospital PAkar An-Nur

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast