Senior Minister of Defence, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob at a news conference after a visit to the Vaccination Centre at World Trade Centre Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 01 JULY 2021
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Lima negeri akan beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 5 Julai ini selepas mencapai tiga indikator yang ditetapkan kerajaan pusat.

Kelima-lima negeri itu adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tiga indikator berkenaan adalah purata tujuh hari kes harian dengan penggunaan kapasiti wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar vaksinasi melebihi 10 peratus.

“Antara sektor yang dibenarkan beroperasi dalam Fasa 2 adalah kedai buku dan alat tulis, telekomunikasi, kedai cuci kereta, gunting rambut.

“Dari segi pergerakan, daerah dan negeri masih dilarang kecuali kelonggaran diberikan kepada guru sekolah dan pelajar yang perlu mengikuti kelas peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media peralihan fasa di peringkat negeri bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pergerakan rentas negeri dan daerah dibenarkan bagi pasangan jarak jauh dalam Fasa Kedua PPN.

Bagaimanapun kata beliau, kebenaran itu tertakluk kepada kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ramai yang mahu mendengar mengenai pergerakan rentas negeri dan daerah oleh pasangan jarak jauh. Malah, saya sendiri ada menerima rayuan berhubung perkara ini.

“Jadi fasa dua ini, kita membenarkan rentas negeri dan daerah kepada pasangan jarak jauh tetapi hanya bagi kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan PDRM,” ujarnya. – MalaysiaGazette