Seorang wanita dikesan bersembunyi ketika Jabatan Imigresen melakukan serbuan di sebuah bangunan di Jalan Pudu.

KUALA LUMPUR – Seramai 72 warga asing ditahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah bangunan di Pudu, dekat sini yang menjadi penempatan mereka.

Pemeriksaan di lokasi operasi mendapati kawasan yang dihuni oleh majoriti warga asing ini bukan sahaja tidak mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan, malah ia sangat kotor dan tidak teratur.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kemudahan awam di bangunan itu seperti lif, lampu tangga dan koridor tidak berfungsi dengan sempurna serta kawasan dalam bangunan yang dipenuhi sampah dan berbau busuk.

Katanya, operasi bermula 5 petang semalam yang dijalankan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan operasi penguatkuasaan dan pematuhan di bawah Op Patuh.

”Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi telah memeriksa seramai 245 orang individu dan berjaya menahan seramai 72 orang warga asing yang daripada pelbagai warganegara yang berumur diantara 25 hingga 50 tahun.

“Manakala warga asing yang ditahan terdiri daripada 43 orang lelaki dan 29 orang wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota penguatkuasa JIM terpaksa mengumpil pintu sebuah premis di dalam bangunan di Pudu yang terlibat dalam operasi Ops Patuh, semalam.

Khairul berkata, semasa pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang dinding yang telah diubah suai.

Bagaimanapun, semua cubaan ini berjaya dikesan dan digagalkan oleh pegawai operasi.

Katanya, pegawai operasi terpaksa memecahkan pintu kerana kebanyakan rumah yang diperiksa penghuninya tidak memberikan kerjasama dan menyorok di dalam rumah dengan mematikan lampu.

Lokasi ini juga dipercayai menjadi sarang pelacuran yang melibatkan wanita warga asing dan pernah beberapa kali diserbu oleh JIM sebelum ini.

Antara kesalahan imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa.

Anggota polis berjaya mengesan seorang wanita yang cuba bersembunyi di dalam almari ketika serbuan dijalankan di sebuah bangunan Jalan Pudu.

Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bersama agensi yang lain di bawah Op Patuh yang di terajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Operasi penguatkuasaan yang dijalankan bukan sahaja untuk mengesan dan menangkap pendatang haram dan individu yang bersekongkol dengan mereka, malahan operasi-operasi ini bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast