KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan empat teknologi baharu sempena Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 yang merangkumi kawalan penyakit tanaman sawit, penghasilan produk biojisim bagi rawatan sisa buangan kilang kelapa sawit (POME) dan jentera pemunggah buah tandan segar di ladang.

Teknologi baharu yang dibangunkan oleh MPOB meliputi penggunaan bakteria endofitik iaitu agen kawalan biologi yang berkesan bagi mengawal penyakit reput pangkal batang (BSR) yang disebabkan oleh kulat Ganoderma.

Teknologi kawalan penyakit pokok sawit yang sistematik dapat meningkatkan produktiviti hasil tanaman sawit dan mengurangkan kerugian kepada pengusaha ladang.

MPOB juga membangunkan teknologi untuk mengawal penyakit reput batang atas (USR) pada pokok sawit yang disebabkan oleh kulat Ganoderma.

Pokok sawit yang dijangkiti dengan simptom awal boleh dirawat menggunakan racun sistemik, hexaconazole yang dapat mengurangkan penyebaran kulat Ganoderma.

Bagi teknologi pengilangan, MPOB membangunkan inovasi bagi rawatan sisa buangan kilang kelapa sawit. Sistem ini menyatukan kaedah rawatan biologi yang melibatkan pengudaraan dan penjerapan kimia fizikal dengan rawatan arang teraktif.

Kaedah rawatan ini menggunakan biojisim sawit sebagai bahan penjerapan yang murah, mudah diperolehi dan mesra pengguna serta memenuhi piawaian yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

Satu lagi teknologi baharu yang diperkenalkan adalah jentera untuk membantu memunggah buah tandan segar (BTS) di ladang.

Jentera pemunggah tandan ke dalam bin atau treler yang dibangunkan oleh MPOB ini menggunakan sistem haidraulik ringkas dan dikuasakan oleh bateri.

Ia adalah mudah untuk dialih dan dipasang serta ditarik oleh jentera pengangkutan bersaiz kecil seperti jentera beroda tiga.

Pada TOT 2021, MPOB turut melancarkan tiga produk hasil kerjasama pengkomersialan dengan syarikat tempatan. Ini melibatkan pengkomersialan teknologi kawalan penyakit Ganoderma, produk poliol berasaskan sawit bagi kegunaan sektor industri dan alat pemotong berkuasa elektrik dikenali Cantas Elektro untuk kerja-kerja penuaian buah tandan segar.

Usaha sama antara MPOB dengan syarikat tempatan bagi pengkomersialan teknologi berkaitan sawit melibatkan kepakaran dan fasiliti penyelidikan MPOB yang mewujudkan situasi menang-menang dan menyumbang kepada kemajuan industri sawit negara.

Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB komited menghasilkan teknologi dan inovasi yang memberi impak kepada kecekapan produktiviti, peningkatan kualiti minyak sawit dan kemampanan industri sawit negara.

“Penyelidikan MPOB dari peringkat huluan hingga sektor hiliran memberi fokus kepada penghasilan teknologi yang berupaya menyelesaikan permasalahan dan memenuhi keperluan semasa pihak industri,” kata Ahmad Parveez.

Tambah beliau, sokongan pihak industri telah menyumbang kepada usaha MPOB dalam meningkatkan pengkomersialan teknologi baharu.

Pengkomersialan teknologi yang dihasilkan melalui R&D adalah salah satu petunjuk terpenting atau indeks prestasi utama (KPI) sumbangan MPOB kepada industri sawit negara. – MalaysiaGazette