Keadaan lokasi nahas pesawat tentera di bandar Patikul, di wilayah Sulu. foto Agensi

MANILA – Jumlah angka korban pesawat tentera Filipina yang terhempas di wilayah Sulu semalam meningkat kepada 47 orang manakala 49 lagi cedera.

Ketua tentera Filipuna, Cirilito Sobejana berkata, tiga orang awam yang berada di darat turut terkorban dan empat lagi cedera.

Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana siasatan kejadian itu akan bermula sebaik sahaja operasi menyelamat selesai.

Sebilangan besar 96 orang yang menaiki pesawat pengangkutan Lockheed C-130 Hercules baru sahaja selesai latihan ketenteraan baru-baru ini.

Ketika kejadian, mereka ini dalam proses dihantar ke batalion masing-masing.

Pesawat berkenaan dipercayai terhempas kerana tersasar dari landasan tanpa sempat mendarat Lapangan Terbang Jolo.

Ia gagal untuk terbang semula dan terhempas di kawasan berhampiran.

“Sejumlah askar dilihat melompat keluar dari pesawat sebelum jatuh ke tanah, menyelamatkan mereka daripada letupan yang disebabkan oleh nahas itu,” kata Pasukan Petugas Bersama Sulu dalam satu kenyataan.

Tidak jelas berapa banyak askar yang melompat keluar semasa kejadian.

Foto-foto lokasi nahas yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Bersama-Sulu menunjukkan ekor pesawat rosak dan asap keluar daripada bahagian belakang badan pesawat yang terhempas berhampiran pokok-pokok kelapa.

Gambar yang ditayangkan oleh Pondohan TV di laman Facebooknya menunjukkan bangkai kapal terbang itu diliputi api dan asap hitam pekat hingga melitupi kawasan perumahan yang terletak berhampiran lokasi tersebut.

Lapangan terbang Jolo mempunyai landasan sepanjang 1,200 meter yang biasanya digunakan oleh turboprop awam walaupun kadang-kadang beberapa penerbangan ketenteraan, menurut jurucakap Lembaga Penerbangan Awam Filipina.- MalaysiaGazette