KUALA LUMPUR- Saki baki struktur kondomnium Champlain Tower di Miami, Florida diruntuhkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam waktu tempatan.
Ia dibuat selepas kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa sejak 24 Jun lalu dihentikan seketika.
Bangunan itu diruntuhkan bagi mengelak keadaan lebih buruk kerana kawasan berkenaan dijangka dilanda Ribut Tropika Elsa hari ini.
Detik-detik akhirnya dirakam wartawan bebas, Joel Franco dan kemudian dimuat naik di Twitter.
Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk di kawasan sekitar telah di arah berada dalam kediaman dan menutup tingkap bagi menghalang kesan habuk akibat letupan.
Berikutan kerja-kerja berkenaan segala operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 4 petang Sabtu.
Sebelum itu, dua lagi mayat ditemui menjadikan jumlah korban meningkat kepada 24 nyawa manakala 121 lagi disahkan masih hilang.
Datuk Bandar Miami-Dade, Daniella Levine Cava berkata, operasi mencari dan menyelamat akan disambung selepas letupan dibuat. – MalaysiaGazette