KUALA LUMPUR – Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (Dasar 4IR Negara) yang dilancarkan Khamis lepas merupakan satu dasar penting untuk dilaksanakan dalam usaha menyelaraskan kesemua inisiatif kerajaan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam ekosistem digitalisasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Dasar 4IR Negara itu akan memberi faedah kepada rakyat, sektor perniagaan dan kerajaan.

Beliau berkata, fokus kerajaan juga adalah meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya untuk rakyat menerima guna teknologi seiring perkembangan semasa yang turut berlaku di seluruh dunia.

“Kita tidak banyak mencipta teknologi seperti negara maju iaitu China, Jepun, Korea Selatan dan Eropah. Oleh itu, kita berharap untuk mempunyai lebih ramai rakyat Malaysia yang mampu mencipta dan mewujudkan teknologi menerusi Dasar 4IR Negara,” katanya dalam temu bual dalam program Malaysia Hari Ini yang diterbitkan saluran TV3 pada Isnin.

Mustapa berkata, kerajaan juga dapat menggabungkan segala usaha dan bertindak menerusi kaedah yang terselaras mengikut Dasar 4IR Negara.

“Kita juga ingin memastikan pada 2050 kerajaan telah dapat mendigitalkan perkhidmatan kerajaan dan memahirkan setiap penjawat awam dalam bidang ini mengikut Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” katanya.

Dasar 4IR Negara bertujuan mempertingkatkan keupayaan Malaysia, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.

Ia digubal berpaksikan kemanusiaan supaya teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya, selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama untuk mencapai kesejahteran rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan.

Empat teras utama menyokong dasar ini iaitu melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR; membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital; menyediakan peraturan sesuai keperluan masa dan fleksibel dengan perubahan teknologi serta mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.

Dasar ini akan menyediakan prinsip panduan utama dan hala tuju kementerian serta agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan bagi mengoptimumkan pengagihan sumber selain penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi pesat membangun yang akan memberi manfaat kepada rakyat, sektor swasta dan awam.

Dasar itu juga menyokong dasar pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Rancangan Malaysia Lima Tahun dan melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dalam mendorong pembangunan ekonomi digital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast