Para petugas DHL melakukan kerja-kerja pengendalian proses penghantaran vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech yang baru tiba di tanah air sumbangan Amerika Syarikat sebanyak 1 juta dos secara percuma untuk rakyat Malaysia ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kompleks Raya, Subang Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Malaysia menjadi salah sebuah negara pertama yang menerima vaksin di bawah rancangan Presiden Joe Biden untuk menyumbangkan 80 juta dos vaksin ke seluruh dunia seperti yang diumumkan pada bulan lalu.

Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia berkata, sokongan ini akan membantu melindungi rakyat Malaysia daripada virus Covid-19, yang membolehkan Malaysia memulakan norma baharu selepas pandemik ini dan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.

Amerika Syarikat berbesar hati untuk memberikan satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan penghantaran vaksin tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah untuk diedarkan ke pusat-pusat vaksin di seluruh negara.

Pada majlis penyerahan itu, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters berkata, Amerika Syarikat komited untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk menangani pandemik Covid-19 dan mencapai keselamatan kesihatan global.

”Amerika Syarikat dan Malaysia mempunyai perkongsian yang panjang dan kukuh dalam isu kesihatan awam dan keutamaan kami sekarang untuk membantu Malaysia menyelamatkan nyawa.

”Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan meningkatkan liputan vaksin dan membantu mencapai sasaran pemulihan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini.

Peruntukan vaksin kepada Malaysia adalah sebahagian daripada komitmen Pentadbiran Biden untuk berkongsi bekalan vaksin Amerika Syarikar di seluruh dunia.

Amerika Syarikat merupakan penderma kewangan terbesar untuk COVAX, sebuah perkongsian vaksin global, dengan janji memberikan dana AS$4 bilion hingga tahun 2022.

Konvoi kenderaan yang membawa vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech yang baru tiba di tanah air sumbangan Amerika Syarikat bergerak keluar untuk dihantar ke pusat-pusat vaksinasi sekitar lembah klang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kompleks Raya, Subang Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2021.

Amerika Syarikat baru-baru ini juga telah berjanji untuk menyediakan tambahan 500 juta dos vaksin Pfizer kepada negara-negara berpendapatan terendah di dunia melalui COVAX.

Dalam kenyataannya, Presiden Biden menyatakan komitmen kerajaan Amerika Syarikar untuk membina dunia yang lebih aman daripada penyakit berjangkit dan memacu usaha vaksinasi antarabangsa yang penting dan mendesak.

”Kami berkongsi dos ini bukan untuk mendapatkan kelebihan manfaat atau konsesi. Kami berkongsi vaksin ini untuk menyelamatkan nyawa dan memimpin dunia dalam mengakhiri pandemik ini,” ujar Biden. – MalaysiaGazette